Petikan Ucapan KPN
.....................................................................................................................................................................................................................................................

SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA TAHUN 2025 MASIHI / 1446 HIJRAH - PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd.  

Alhamdulillah segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT pemilik Arasy yang agung kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, pada 10 Zulhijjah 1446 Hijrah bersamaan 7 Jun 2025 Masihi, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha. 

Kehadiran Aidiladha mengingatkan kita kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dalam menunaikan suruhan Allah SWT dan kesabaran anaknya Nabi Ismail A.S memenuhi perintah Sang Pencipta. Ibrah daripada peristiwa bersejarah ini menuntut umat Islam agar sentiasa reda dan berdamai dengan takdir Rabbul Alamin, demi mendapatkan mardhatillah-Nya.

Dalam konteks kehidupan masa kini, ada banyak episod pengorbanan yang telah dizahirkan oleh warga Sang Saka Biru dalam melaksanakan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Walaupun pengorbanan warga PDRM ini tidak setanding pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim A.S, namun, ketahuilah bahawa, semua pengorbanan yang telah dicurahkan oleh warga Pasukan terlalu besar maknanya dalam memastikan keselamatan dan keharmonian negara kekal terpelihara.

Mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha, umat Islam disaran untuk memperbanyakkan zikir, bertakbir dan bertahmid, disusuli dengan solat sunat Aidiladha serta diikuti dengan ibadah korban yang dilakukan pada 10 hingga 13 Zulhijjah.

Kepada Duyufurrahman khususnya warga PDRM yang dijemput menunaikan Rukun Islam Ke-5 pada tahun ini, sesungguhnya perjalanan untuk menyempurnakan ibadah Haji memerlukan pengorbanan dan hati yang ikhlas Lillahi Taala. Semoga para jemaah diberikan kesihatan yang baik sepanjang berada di tanah Haramain dan beroleh haji yang mabrur serta umrah yang sempurna.

Bersamalah kita menghayati hikmah pengorbanan dengan menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan, memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, demi kemampanan dan kesejahteraan negara, seiring kerangka Malaysia MADANI.

Kepada mereka yang akan pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan ini, patuhilah peraturan jalan raya serta pastikan kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan baik dan selamat.

Akhirul kalam, saya dan isteri serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah kepada seluruh umat Islam dan warga PDRM. Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan rahmat Rabbul Izzati selamanya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd.

IG TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSAIN
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

May be an image of ‎headscarf and ‎text that says '‎FabinaMKomp:ae.a.lemuanla Uras Tarbitan Kensep KPW (Komanikasi Karpornt) សហា បហ Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha I 10 Zulhijah 1446H 7 Jun 2025 f Polls Diraja Malaysia pdrmsia_offic official PDRMsia PDRMsia PDRMsia_ Official ل pdrmsia rasmi‎'‎‎




PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS