Petikan Ucapan KPN
.....................................................................................................................................................................................................................................................

TETAPKAN PENDIRIAN DAN JATI DIRI DENGAN NILAI INTEGRITI YANG TINGGI

Kuala Lumpur, 10 Oktober 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menegaskan bahawa setiap Inspektor Percubaan perlu menerapkan pendirian dan jati diri dengan nilai integriti yang tinggi sebagai persediaan dalam memikul tanggungjawab sebagai Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerjaya kepolisan adalah satu profesion yang sangat mencabar dari segi mental, fizikal dan emosi. Ia menuntut pengorbanan masa dan tenaga serta turut menguji ketahanan minda, kecekalan jiwa serta kredibiliti warganya untuk berhadapan dengan cabaran jenayah masa kini yang semakin rumit dan kompleks," ujar beliau semasa menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Percubaan Bilangan 13 Siri 1/2025 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pagi tadi.

Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid juga menyeru kepada seluruh warga Sang Saka Biru untuk mempertingkatkan kawalan disiplin, integiriti, moral dan etika agar tidak melakukan perkara boleh menjejaskan imej Pasukan.

Perbarisan tamat latihan tadi disertai seramai 345 Inspektor Percubaan terdiri daripada 105 Kawalan Kehormatan Utama yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, Inspektor Percubaan Syenly Sinairi dengan dibantu oleh Penolong Pegawai Pemerintah Baris, Inspektor Percubaan Ahmad Syahid Salahudin.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Yang Amat Mulia, Tengku Panglima Perang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, pemeriksaan detasemen oleh Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid dengan menaiki kenderaan istiadat disusuli penyampaian sijil pelatih terbaik yang telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh program.

Inspektor Percubaan Mahira Alias diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, manakala Inspektor Percubaan Sudirman Garamah dan Inspektor Percubaan Stephanie Anak Bunyau masing-masing menerima Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar Lelaki dan Wanita. Inspektor Percubaan Wong Chun Wai pula dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Akademik.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk Hjh. Munirah Che Rose, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, barisan Ketua Polis Negeri, para pegawai kanan, ahli-ahli PERKEP, ahli keluarga pelatih serta rakan media.

Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar



May be an image of one or more people and text

May be an image of text

May be an image of dais and text

May be an image of one or more people, dais and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS