Sharing Is caring
.....................................................................................................................................................................................................................................................

AKAUN PALSU: BAGAIMANA MEDIA SOSIAL ANDA BERISIKO DIPALSUKAN?

 

Anda pasti pernah terbaca mengenai akaun palsu (fake account) atau kecurian identiti di media sosial di mana terdapat satu atau lebih akaun yang menggunakan gambar, nama dan maklumat yang sama dengan akaun asal, tanpa pengetahuan atau kebenaran pemiliknya. Jangan ingat hanya selebriti, ahli politik atau golongan tertentu sahaja yang berisiko, rakyat biasa juga tidak terkecuali.

Adakah bahaya akaun palsu ini? Ya, ia sangat berbahaya. Anda berisiko dijadikan sebagai 'kambing hitam' oleh penjenayah untuk penyebaran maklumat palsu, penipuan atas talian, penyamaran, dan mampu membawa kepada kes jenayah yang lebih besar selain turut membahayakan keselamatan diri dan keluarga anda sendiri!

Bagaimana kecurian identiti di media sosial berlaku? Selain akaun berjaya diceroboh disebabkan oleh kelemahan kata laluan, ketidakpekaan anda sebagai pemilik akaun juga boleh menjadi penyebab.

Antaranya:

1. Menerima [permintaan rakan] di media sosial tanpa meneliti terlebih dahulu siapa pemilik akaun tersebut > Buatlah sedikit soal selidik dengan meneliti informasi atau gambar yang terdapat di akaun tersebut. Jika tiada, mesej secara peribadi pemilik akaun dan tanya serba sedikit latar belakang beliau seperti nama sebenar, pekerjaan, rakan kenalan dan lain-lain maklumat berkaitan. Jangan terima permintaan jika tidak begitu mengenali beliau atau hanya kerana ingin memeriahkan senarai rakan.

2. Meletakkan terlalu banyak maklumat > Memanglah ada disediakan ruangan maklumat peribadi seperti nama sekolah, pejabat atau tarikh lahir yang membolehkan anda untuk mengisinya, tetapi ia bukan diwajibkan. Setakat mengisi ruangan makanan kegemaran, ia tiada masalah. Jika mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi, anda seolah-olah memberi 'hidangan bufet' kepada penjenayah untuk maklumat tersebut digunakan dalam akaun palsu untuk ia dilihat seakan-akan akaun yang sebenar.

3. Berkongsi gambar secara terbuka > "Alamak, rugilah kalau tak boleh share dengan kawan-kawan gambar percutian di Bali baru-baru ni"... Boleh berkongsi tetapi dinasihatkan membuat tetapan privasi dengan siapa anda ingin gambar tersebut dilihat - rakan, rakan tertentu, rakan yang dikecuali atau diri sendiri sahaja. Jangan jadikan ia sebagai perkongsian terbuka (public) dan jika memilih untuk tatapan rakan, pastikan senarai rakan adalah seperti tips di #1. Gambar yang dikongsi secara terbuka berisiko dicuri dan dijadikan gambar profil pada akaun palsu.

Selain itu anda dinasihatkan untuk menggunakan gambar rawak seperti haiwan, pemandangan, bunga, kenderaan atau apa sahaja selain gambar sebenar bagi mengelakkan gambar anda dicuri dan disalah guna. Pastikan plat kenderaan juga tidak kelihatan dalam gambar.

Anda juga boleh membuat carian di browser menggunakan nama yang digunakan di media sosial untuk memeriksa berapa banyak gambar yang telah anda kongsi dan boleh dilihat oleh pengguna internet yang lain. Jika mendapati ada gambar yang tidak sepatutnya dipaparkan, segera padam atau tukar tetapan privasi.

Anda juga dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada pentadbir sistem dan pihak polis jika mendapati terdapat akaun di media sosial yang menggunakan gambar, nama dan maklumat peribadi anda tanpa kebenaran.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS