Sharing Is caring
.....................................................................................................................................................................................................................................................

#RenunganBersama HIDUP INI SINGKAT, LAKUKANLAH KEBAIKAN SELAGI TERMAMPU

Akhir-akhir ini, banyak berita kematian yang kita dengari, baik dalam kalangan keluarga mahupun mereka yang dikenali ramai.

Pada 14 Februari lalu, seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Allahyarham Koperal Asman Ongkal, 40, yang bertugas di Batalion 15, Pasukan Gerakan Am (PGA), Sandakan, Sabah dilaporkan hilang di perairan negeri itu dalam satu kejadian bot karam sebelum ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Selang beberapa hari sebelum itu, seorang pelawak terkenal, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, atau Abam Bocey dilaporkan meninggal dunia dalam tidur ketika cuba dikejutkan oleh isterinya untuk mengerjakan solat Subuh.

Kedua-duanya (Koperal Asman dan Abam Bocey) mempunyai latar belakang pekerjaan yang berbeza, namun persamaan yang nyata adalah kebaikan yang dilakukan semasa hayat mereka di dunia.

Allahyarham Koperal Asman terjun menyelamatkan 27 pelajar dan 9 orang awam selepas bot yang dinaiki karam kerana berlanggar dengan sebuah kapal yang ditunda oleh sebuah kapal lain, sehingga mengorbankan nyawanya sendiri.

Allahyarham Abam Bocey pula dikenali sebagai seorang insan seni berbudi pekerti mulia dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, tanpa sedikitpun menghebahkannya kepada umum.

Meskipun kedua-dua jenazah telah selamat bersemadi, namun kebaikan yang mereka lakukan semasa hayat masih disebut-sebut sehingga ke hari ini. Itulah yang dikatakan sebagai sebuah kematian dicemburui dan diinginkan oleh kita semua. Sungguh beruntungnya mereka...

Apa yang ingin dikongsikan adalah, kematian boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira umur, pekerjaan, latar belakang atau setinggi mana darjat kedudukan kita di dunia ini. Berbuat baiklah sentiasa selagi kita termampu.

Gunakan setiap saat masa yang kita ada dengan memberi kebahagian dan kesenangan kepada semua makhluk di atas muka bumi ini. Sentiasalah merendah diri dan menjaga tutur kata agar tidak menyakiti hati serta perasaan orang di sekeliling kita.

Bantulah juga mereka yang memerlukan bagi meringankan sedikit beban yang dipikul. Insyallah, ganjaran yang tidak ternilai bakal kita peroleh di akhirat nanti.

Semoga kisah Allahyarham Koperal Asman dan Allahyarham Abam Bocey dapat dijadikan iktibar dan pedoman, agar kita menjadi seorang insan yang lebih mulia dan sentiasa melakukan kebaikan.

Bersama-sama kita doakan agar roh mereka dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.

#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP

Image may contain: 2 people, beard and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS