Jadual 7 : Penerbitan Buletin Integriti dan Poster Jauhi Rasuah oleh PDRM – Urus Setia KPN (Tatatertib)
Poster Jauhi Rasuah
Selain melaksanakan inisiatif-inisiatif dalam NKRA Membanteras Rasuah, satu lagi inisiatif proaktif/tambahan PDRM di bawah naungan Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Tatatertib) Bukit Aman, iaitu YDH SAC Dato' Hashim B. Abd. Jalil adalah penerbitan "Poster Jauhi Rasuah" buat julung kalinya daripada PDRM. Poster Jauhi Rasuah oleh PDRM tersebut akan memaparkan identiti dan kelainannya tersendiri hasil cetusan idea Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Tatatertib) serta usahasama kartunis daripada Cawangan Perhubungan Awam, Jabatan Pengurusan PDRM.
Objektif menerbitkan Poster Jauhi Rasuah ini adalah untuk menanamkan kesedaran, pengajaran, menyampaikan maklumat dan 'message' kepada semua peringkat warga PDRM mahupun rakyat supaya jangan terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral tersebut iaitu memberi ataupun menerima rasuah. Penyaluran maklumat melalui Poster Jauhi Rasuah yang dipaparkan seterusnya akan dapat meningkatkan kesedaran rakyat bahawa pasukan PDRM turut menguatkuasakan undang-undang SPRM yang tidak akan bertolenrasi kepada aktiviti rasuah dan mana-mana orang yang cuba mahu memberikan rasuah juga akan ditangkap polis.
Sebanyak lima (5) jenis Poster Jauhi Rasuah yang dihasilkan dengan memberi tumpuan utama kepadaCawangan Trafik dan MPV bagi Jabatan KDNKA, Pejabat Pertanyaan dan Pejabat Pegawai Penyiasat yang dilihat bakal memberikan impak kepada semua warga PDRM mahupun rakyat supaya tidak melibatkan diri di dalam gejala rasuah. (3) lokasi/cawangan dipilih berdasarkan kriteria kekerapan orang awam yang tinggi dengan pihak polis, kebolehpaparan dan sering dikunjungi orang awam iaitu :-
i. Kaunter Pertanyaan Balai-balai Polis;
ii. Kawasan / Bilik Pegawai / Penolong Pegawai Penyiasat di IPD-IPD dan;
iii. Cawangan Trafik seluruh Malaysia.
Selain itu, Poster Jauhi Rasuah tersebut adalah digalakkan untuk dipamerkan di lokasi-lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan serta perhatian orang ramai semasa berurusan dengan pihak polis di Ibu Pejabat Kontinjen, Ibu Pejabat Daerah dan Balai Polis. Penerbitan Poster Jauhi Rasuah dijangka akan dapat dikeluarkan pada akhir tahun ini yang akan diedarkan ke seluruh kontinjen sebagai usaha berterusan dalam kempen membanteras rasuah bersama pihak NKRA Membanteras Rasuah, PEMANDU dan SPRM.
Buletin Integriti
Buletin Integriti merupakan salah satu usaha yang telah dilaksanakan oleh Urus Setia KPN (Tatatertib) Bukit Aman dalam Pelan Strategik Lima Tahun PDRM (PS5T). Edisi pengenalan Buletin Integriti mula diterbitkan pada bulan Januari 2007. Kekerapan penerbitan di sepanjang tahun adalah sebanyak enam (6) jilid (sekali bagi setiap dua bulan). Jumlah cetakan adalah sebanyak 10,000 naskah bagi setiap penerbitan.
Objektif utama penerbitan Buletin Integriti adalah sebagai satu saluran mendekati warga PDRM bagi membuka ruangan cetusan minda dengan tujuan menerapkan kesedaran dan pendidikan serta menutup ruang dan peluang berlakunya salahlaku. Disamping itu juga kandungan dan artikel-artikel yang dimuatkan dalam Buletin Integriti boleh dijadikan sebagai bahan bacaan berbentuk ilmiah ke arah memupuk dan meningkatkan INTEGRITI bagi seluruh warga PDRM. Bagi mencapai objektif penerbitan, Buletin Integriti diagihkan ke seluruh peringkat Kontinjen / Briged / Formasi.
PENUTUP
NKRA disifatkan sebagai bidang keutamaan Negara yang memerlukan kejayaan yang cepat dan besar untuk menangani permintaan rakyat. Dalam NKRA Membanteras Rasuah, PDRM memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan sumbangan dalam pencapaian inisiatif-inisiatif NKRA Membanteras Rasuah.
Jelas sekali penglibatan dan peranan PDRM di dalam NKRA Membanteras Rasuah ini memerlukan kerjasama dan komitmen dari semua warganya. Berdasarkan kepada usaha-usaha yang dilakukan pastinya kita berada di landasan yang betul bagi memastikan objektif khususnya NKRA Membanteras Rasuah ini dan amnya PDRM sendiri tercapai. Setiap usaha yang dirangka dan dilaksanakan oleh Urus Setia KPN (Tatatertib) bersama-sama semua jabatan di dalam pasukan adalah semata-mata untuk memperbaiki persepsi negatif rakyat serta mengembalikan keyakinan rakyat bahawa PDRM selaku agensi penguatkuasa utama negara kekal relevan dan berintegriti tinggi.
Walaupun NKRA Membanteras Rasuah ini terdiri daripada Kementerian / Agensi / Suruhanjaya yang berbeza tetapi mempunyai objektif yang sama iaitu untuk menghapuskan rasuah, meningkatkan persepsi rakyat terhadap usaha kerajaan dalam membanteras rasuah seterusnya meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan masing-masing dalam memastikan pematuhan di kalangan pegawai penguatkuasa selari dengan konsep 1Malaysia 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Pasukan PDRM akan sentiasa memberikan komitmen yang sepenuhnya dan memastikan usaha yang berterusan sentiasa dijalankan bagi memastikan kejayaan Sub-Bidang NKRA ini dalam membanteras rasuah.