PERANAN PDRM DALAM NKRA MEMBANTERAS RASUAH - NATIONAL KEY PERFORMANCE INDEX (NKPI)
Di pihak PDRM, Urus Setia KPN (Tatatertib) Bukit Aman merupakan Unit yang dipertangungjawabkan menjadi 'initiatives owner' kepada pelaksanaan inisiatif yang ditetapkan bagi pihak PDRM kepada Urus Setia NKRA Membanteras Rasuah. Urus Setia KPN (Tatatertib) juga bertindak sebagai liason kepada semua jabatan di dalam PDRM bagi mendapatkan apa sahaja maklumat/data/perangkaan dalam memastikan pelaksanaan inisiatif NKRA Membanteras Rasuah ini mencapai objektifnya. Ketua Projek dalam pelaksanaan inisiatif NKRA Membanteras Rasuah pada masa ini adalah diketuai oleh Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Tatatertib) Bukit Aman iaitu YDH SAC Dato' Hashim B. Abd. Jalil dan dibantu oleh beberapa pegawainya. 

Di bawah Sub-NKRA Penguatkuasaan Undang-undang dan Agensi Pengawalseliaan, PDRM bersama empat (4) lagi agensi penguatkuasa utama di Malaysia iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen terlibat secara langsung dalam memastikan persepsi negatif rakyat terhadap gejala rasuah agensi penguatkuasa dapat dikurangkan.


Jadual 5 : Sub-NKRA Penguatkuasaan Undang-undang dan Agensi Pengawalseliaan

Terdapat lima (5) inisiatif yang telah ditetapkan bagi tahun 2011 untuk dilaksanakan oleh setiap agensi bagi tujuan mempertingkat persepsi dan keyakinan rakyat terhadap semua agensi penguatkuasa seterusnya memperbaiki skor Malaysia di dalam Corruption Perception Index (CPI) iaitu ; 

i. Memperkasa Unit Pematuhan
Urus Setia KPN (Tatatertib) merupakan 'stake holder' bagi pelaksanaan inisiatif ini.
ii. Penggiliran Tugas Jawatan 'Panas' (kerja berisiko rasuah)
iii. Mengurangkan Birokrasi/Sistem Institusional
iv. Mengurangkan Budi Bicara Melalui Automasi
v. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

i. Memperkasa Unit Pematuhan (Strengthen Compliance Unit)
Unit Pematuhan perlu diwujudkan (bagi mana agensi yang belum ada Unit Pematuhan) dan diperkasakan untuk meningkatkan keberkesanan agensi masing-masing dalam memastikan prinsip pematuhan dalam kalangan warga kerja tersebut. Dalam inisiatif ini, PDRM menjadi contoh dan penyumbang utama dalam memberikan cadangan dan idea yang bernas dalam usaha untuk meningkatkan prinsip pematuhan dalam agensi Sub-bidang ini memandangkan PDRM sememangnya telah mempunyai sistem 'check and balance' dalam pasukan untuk memastikan fungsi pasukan sebagai agensi penguatkuasa sentiasa terjaga berasaskan konsep Integriti. 

Unit pematuhan PDRM atau lebih dikenali sebagai Urus Setia KPN (Tatatertib) merupakan Unit Bebas (Independent) yang menjalankan tugas pematuhan / pemeriksaan / naziran terhadap semua warga polis tanpa mengira pangkat dan jawatan dalam pasukan PDRM terutamanya terhadap salah laku yang melibatkan rasuah. Prinsip 'zero tolerance' yang diamalkan sejak penubuhan Cawangan Tatatertib pada tahun 1976 telah menjadi tulang belakang, benteng dan asas pasukan PDRM yang masih kekal sebagai sebuah agensi yang relevan dan signifikan kepada rakyat Malaysia. 

Dalam menjayakan inisiatif 'Memperkasan Unit Pematuhan', Urus Setia KPN (Tatatertib) yang berfungsi sebagai Unit Pematuhan telah menjalankan 'Integrity Testing' sebagai mekanisme pengujian bagi memastikan setiap arahan dan peraturan dipatuhi serta menjadi NKPI dalam NKRA Membanteras Rasuah. Tiga (3) kaedah yang dijalankan dalam 'Integrity Testing' adalah melalui Pemeriksaan Pro-Aktif, Mystery Shopping dan Pemeriksaan Ujian Saringan Awal Air Kencing. Ianya merupakan kaedah yang boleh memastikan pematuhan warga PDRM dan salah satu langkah terbaik meningkatkan semula keyakinan rakyat terhadap kredibiliti PDRM sebagai agensi penguatkuasa utama di negara ini. Pemantauan melalui pemeriksaan secara langsung dan juga secara penyamaran yang dijalankan merupakan strategi dalam meningkatkan keberkesanan dalam pemantauan pematuhan di kalangan warga PDRM. Pengujian tersebut juga bertujuan untuk memperkasa PDRM bermula dari dalam melalui kaedah pematuhan dan pemantauan (compliance & monitor) iaitu melalui pemeriksaan seperti yang ditunjukkan di dalam Jadual 5 :-

Bil.

"Integrity Testing"

Cara Pemeriksaan / Pendekatan

Impak

1.

Pro Aktif

- Pemeriksaan ke atas penugasan Peg/PRP/KTA meliputi aspek pematuhan terhadap arahan, peraturan, prosedur yang telah ditetapkan hingga kepada sahsiah dan penampilan diri.

-Memastikan semua warga PDRM menjalankan tugas dengan memegang kepada konsep ‘Integriti Amalan Kita’ sepertimana lencana yang dipasang ke atasuniformoleh setiap warga PDRM.

-Kesedaran warga PDRM atas kehadiran pegawai/PRP Unit Pematuhan yang sentiasa memerhatikan pelaksanaan tugas mereka dan ketidakpatuhan kepada arahan/peraturan/und. yang sedia ada akan diambil tindakan tatatertib.

2.

Mystery Shopping

- Pemeriksaan penilaian terhadap mutu perkhidmatan kaunter oleh Peg/ PRP/KTA yang berkhidmat di barisan hadapan(frontliners). Melalui (2) kaedah iaitu 1. Telefon dan 2. Fizikal(Approach).

3.

Pemeriksaan / Ujian Air Kencing

- Pemeriksaan air kencing bagi mengesan kandungan dadah terlarang terhadap Peg/PRP/KTA. Tujuan untuk merealisasikan Ops Sifar Dadah yang disarankan oleh pucuk pimpinan PDRM.

Jadual 6 : NKPI Unit Pematuhan - Jenis Pemeriksaan Dalam ‘Integrity Testing’ Yang Dilaksanakan Oleh Urus Setia KPN (Tatatertib) 

Nota : Peg - Pegawai Kanan Polis
PRP - Pegawai Rendah Polis 
KTA - Kakitangan Awam 

ii. Pusingan Kerja Tempat Panas (Hot Job Rotation)
Amnya, pusingan/penggiliran kerja 'tempat panas' memberi impak positif iaitu dapat melahirkan Peg/PRP yang 'multi skills'. Selain itu, ia adalah untuk mengurangkan risiko kejadian rasuah terutamanya bagi kakitangan dalam bidang kerja berisiko rasuah ("hot job") atau mereka yang ditempatkan bekerja dalam bidang berisiko rasuah tinggi kini digilirkan secara kerap untuk mengelakkan terbentuknya hubungan yang tidak sihat dan untuk mengukuhkan tadbir urus dan nilai yang baik. 

Dalam melaksanakan inisiatif ini, PDRM mengenalpasti beberapa Unit / Cawangan / Bahagian dalam Jabatan PDRM sebagai 'Hot Job' iaitu yang berpotensi kepada pelakuan rasuah dan dibuat rutin pusingan kerja seperti Cawangan Perjudian / Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) dan Unit Risikan Jenayah (D4) dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Trafik dan Kereta Peronda dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri / Ketenteraman Awam. Pelaksanaan inisiatif ini amat bergantung kepada Jabatan masing-masing dalam pemantauan pusingan kerja tempat panas serta kerjasama Bahagian Perkhidmatan /Perjawatan, Jabatan Pengurusan bagi memastikan pengimplementasiannya tercapai. PDRM dalam memastikan pengimplementasian inisiatif ini merujuk kepada Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A 203 – Pertukaran, Tukar Ganti dan Gantian dan juga beberapa Arahan-Arahan Pentadbiran yang dikeluarkan untuk memastikan peraturan-peraturan/arahan-arahan pertukaran yang dikeluarkan dilaksanakan sepenuhnya iaitu;

a. Memastikan peraturan-peraturan dan arahan-arahan pertukaran yang dikeluarkan dilaksanakan sepenuhnya
b. Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2004 – Panduan Pertukaran Pegawai Awam 
c. KPN 106 bertarikh 4 November 1999 – Dasar Mobiliti Inspektor dan PRP 
d. KPN (PR) 106 bertarikh 1 November 1995 – Penempatan Pegawai dan PRP yang mudah terdedah kepada rasuah dan gejala tidak sihat 

iii. Mengurangkan Birokrasi / Institutionalise System 
Sistem / Perkhidmatan yang diberikan oleh setiap agensi telah dianggap membuatkan rakyat susah sehingga beranggapan perlu memberi 'suapan' bagi memudahkan kerja adalah dikira sebagai suatu karenah birokrasi. Dalam mengatasi dan menambahbaik inisiatif ini, PDRM telah mengetengahkan beberapa inisiatif yang dpercayai dalam mengatasi masalah yang dihadapi rakyat seperti ;

a. '1Reporting' - Pengintegrasian Sistem Police Reporting System - PRS (Jenayah) dan Cars Accident Reporting System - CARS (Trafik);

Sistem pelaporan kemalangan jalanraya yang mana sebagai kaedah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi masyarakat untuk membuat laporan kemalangan jalanraya yang mana pengadu (rakyat) boleh membuat laporan polis di mana-mana balai polis di negara ini.

b. Portal Rasmi PDRM (e-aduan)
Membolehkan / Memudahkan rakyat membuat aduan ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh PDRM (tidak termasuk salah laku atau perlanggaran tatatertib). Ia juga sebagai satu kaedah ‘out reach program’ di mana orang ramai boleh berinteraksi dengan mudah, telus dan berkesan dengan pihak PDRM. Di samping itu dapat memberi keselesaan kepada rakyat, ianya turut memberi manfaat kepada PDRM dari aspek menggalakkan penggunaan teknologi ICT terkini.

iv. Mengurangkan Budi Bicara Melalui Sistem Automasi
Mengurangkan 'direct contact' di antara Peg/PRP/KTA PDRM semasa berurusan dengan masyarakat dalam urusan-urusan yang boleh membuka ruang kepada amalan rasuah. Antara inisiatif PDRM adalah seperti berikut; 

a. Police Reporting System (PRS) & Cars Accident Reporting System (CARS)
- Menyediakan perkhidmatan penerimaan laporan polis (jenayah/trafik) dan penyiasatan secara elektronik; 
- Mempercepatkan keupayaan polis menerima repot;
- Meningkatkan keupayaan dalam penyiasatan dan penganalisaan (trend jenayah/statistik kesalahan trafik) melalui pengumpulan maklumat yang efektif;
- Mengukuhkan sistem kerajaan elektronik (e-Govt);
- Laporan Polis yang dibuat lebih ‘reliable’ dan tidak boleh dimanipulasi.

b. Sistem Pengurusan Informasi Narkotik (SPIN) – Pengurusan Orang Kena Pengawasan (OKP) 
- Pangkalan data yang lebih sistematik untuk menentukan jumlah OKP yang didaftar berbanding secara manual
- Pemantauan terhadap OKP lapor diri lebih berkesan dan menutup ruang berlakunya penyelewengan.

c. Rayuan Kompaun Automatik Semakan saman melalui system SMS 15888. Untuk semakan dan bayaran terdapat portal-portal seperti MyEG Services dan RILEK e-services

d. Pembayaran – Sistem Trafik COPS yang terdapat di semua IPD, Kaunter JPJ dan kompleks beli belah terpilih
- (164) buah kaunter di IPD-IPD
- (7) buah kaunter di Pejabat JPJ
- (5) buah kaunter di (5) lokasi pusat beli belah terkemuka

e. Laman Facebook PDRM
f. Sistem Perolehan PDRM Yang Telus - e-permintaan, e-spkb ; tender, kontrak, sebut harga.

Dengan adanya sistem-sistem yang berkonsepkan teknologi ICT tentunya dapat meminimumkan ruang dan peluang berlakunya rasuah dan turut memberi manfaat kepada PDRM dari aspek penggunaan teknolgi ICT terkini. Proses pelaksanaan tugas PDRM yang cepat memberikan impak yang baik dari segi penjimatan masa yang boleh meningkatkan keberkesanan 'end result' daripada usaha yang dijalankan. 

v. Pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberitahu Maklumat 2010

Budaya intoleransi terhadap rasuah yang disokong oleh satu rangka kerja pemberi maklumat yang kukuh merupakan satu inisiatif penting dan kejayaan besar bagi tahun 2010 yang terdapat dalam inisiatif NKRA Membanteras Rasuah. Akta Perlindungan Pemberitahu Maklumat 2010 telah digubal oleh Jabatan Peguam Negara dan diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan disusuli oleh Dewan Negara pada 6 Mei 2010. Akta tersebut telah digazetkan pada 10 Jun 2010 dan berkuatkuasa pada 15 Disember 2010. 

Perkembangan sehingga kini di peringkat PDRM, Urus Setia KPN (Tatatertib) PDRM dipertanggungjawabkan mengendalikan WPA 2010 dan telah membangunkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai mekanisme pelaksanaannya. Buat permulaan, fungsi berkaitan penerimaan aduan ini dilakukan oleh Unit Pengaduan, Urus Setia KPN (Tatatertib) Bukit Aman dan pengadu boleh memohon untuk diberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Di peringkat kontinjen pula, Pegawai Turus Tatatertib akan mengendalikan aduan yang diterima. Apabila ada pihak yang ingin membuat aduan atau pendedahan kelakuan tidak wajar dan memilih untuk diberikan perlindungan di bawah akta ini, maka Pegawai Turus Tatatertib Kontinjen akan menghubungi Unit Pengaduan untuk tindakan susulan.

Daripada bulan Januari sehingga November 2011, hanya terdapat dua (2) laporan diterima daripada yang menyalurkan maklumat dan mendapat perlindungan di bawah Akta WPA 2010. Di antara sebab yang dikenalpasti atas kekurangan jumlah laporan di bawah WPA 2010 adalah :-

a. Akta ini masih baru dan masih terdapat ramai orang awam yang tidak mengetahui tentang kewujudan WPA 2010;

b. Laporan/aduan harian mengenai salahlaku pegawai polis yang diterima oleh Unit Pengaduan tidak boleh dikategorikan sebagai pendedahan Kelakuan Tidak Wajar di akta ini kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah akta ini antaranya:-
- Pengadu mesti memberi identitinya seperti nama, no kad pengenalan, alamat penuh dan no tel untuk dihubungi; 
- Pengadu mesti menandatangani borang-borang tertentu sebelum perlindungan maklumat diberikan kepadanya;
- Ada sesetengah pengadu mempunyai maklumat tetapi enggan memberi kerjasama untuk memberikan pengenalan diri.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS