Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Siaran Media

KENYATAAN MEDIA KPN: TANGKAPAN KE ATAS ANASIR PENGGANAS YANG MERANCANG UNTUK MELANCARKAN SERANGAN DI MALAYSIA

Pada 25 dan 26 April 2015 Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas telah melancarkan satu operasi di Hulu Langat, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur ke atas sel anggota kumpulan pengganas yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS). Seramai 12 orang suspek lelaki warganegara Malaysia berusia dalam lingkungan umur 17 hingga 41 tahun telah berjaya ditangkap kerana disyaki sedang merancang untuk melancarkan serangan ke atas sasaran-sasaran strategik dan berkepentingan kerajaan di sekitar Lembah Klang.

2. Rancangan untuk melancarkan serangan oleh anggota sel ini adalah sebagai menyahut seruan pemimpin kanan IS di Syria, untuk melancarkan serangan ke atas kepentingan negara Islam sekular yang didakwa sebagai musuh mereka dan sebagai tindak balas terhadap operasi penangkapan ke atas mereka yang disyaki terlibat atau mempunyai kaitan dengan IS oleh pihak PDRM.

3. Di dalam operasi tersebut, pihak polis telah berjaya merampas:
a. Lebih kurang 20kg serbuk dipercayai ammonium nitrate,
b. Lebih kurang 20kg serbuk dipercayai potassium nitrate,
c. Lebih kurang 2 liter cecair dipercayai kerosin,
d. 2 unit remote control,
e. Alarm motor,
f. Pelbagai jenis wayar,
g. 4 biji bateri 9 volt,
h. Penimbang digital,
i. 2 biji penyukat,
j. 3 batang paip PVC dan penutup,
k. Bendera Islamic State, dan
l. Beberapa lagi peralatan dipercayai untuk digunakan bagi menghasilkan bahan letupan.

4. Kesemua 12 orang lelaki berkenaan ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIa – Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

TAN SRI DATO’ SRI KHALID BIN ABU BAKAR
KETUA POLIS NEGARA
POLIS DIRAJA MALAYSIA
BUKIT AMAN



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS