Kenyataan Media Yb Dato’ Mahfuz
Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena pada 20 september 2015 atas tajuk “mengutuk
tindakan Perdana Menteri Najib mempergunakan pasukan polis untuk menangkap Datuk
Khairuddin Abu Hassan” dirujuk.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang berat dakwaan
yang dilemparkan oleh Yb Dato’ Mahfuz Omar, kononnya pdrm telah dipergunakan
oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak bagi menutup
mulut sesiapa sahaja yang cuba untuk membongkar penyelewengan yang berlaku di
dalam kes 1mdb, yang turut berkait dengan penyaluran wang sebanyak rm2.6 bilion
ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Yb Dato’ Mahfuz Omar sedia maklum bahawa siasatan ke atas 1MDB ini dijalankan
bukan sahaja oleh PDRM, tetapi juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),
Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Jabatan Peguam Negara. Yb Dato’ Mahfuz Omar
juga maklum bahawa proses siasatan belum selesai dan semua agensi terbabit
masih memikul amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
Umum sedia maklum bahawa Datuk Khairuddin Abu Hassan, Bekas Timbalan Ketua Umno
Bahagian Batu Kawan, telah pun membuat laporan polis berhubung perkara ini.
Beliau seharusnya memberi ruang dan peluang kepada agensi-agensi penguatkuasa
tempatan untuk menjalankan siasatan. Namun, beliau tetap memilih untuk
menggunakan saluran perundangan asing khususnya Britain, Hong Kong, Perancis
Dan Amerika Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa ke atas
malaysia. Ini jelas merupakan satu tindakan yang bertujuan mencabar sistem
perundangan Malaysia, mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan
mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara ini. Tindakan
beliau ini merupakan satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan
ekonomi dan kedaulatan negara ini.
(Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia