Siaran Media

ARTIKEL PILIHAN: JOE KEDAH, 9 KONCO DICEKUP POLIS DALANGI SINDIKET PELABURAN HARAM

Kuala Lumpur, 23 November 2020 - Seramai 10 individu termasuk dalang utama dikenali sebagai 'Joe Kedah', ditahan pada Khamis lalu, kerana disyaki terbabit sindiket pelaburan haram.

Dalam serbuan bermula jam 12.30 tengah malam itu, semua suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia antara 24 hingga 42 tahun itu, ditangkap di empat lokasi berasingan di sekitar di sini, Shah Alam, Cyberjaya dan Kajang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, CP Dato’ Zainuddin Yaacob, berkata operasi dibuat hasil risikan selepas menerima 72 laporan dibuat mangsa sindiket itu sejak tahun lalu, membabitkan kerugian hampir RM21 juta.

"Selepas terima laporan itu, kita buka 28 kertas siasatan. 'Joe Kedah' berusia 42 tahun dicekup bersama kekasihnya warga asing terbabit di rumahnya dekat Shah Alam.

"Siasatan turut mendapati lelaki berkenaan hidup dalam keadaan mewah hasil kegiatan yang didalanginya.

"Turut dirampas dalam empat serbuan itu ialah 10 kereta mewah seperti Porsche Macan, Ford Mustang dan Audi dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta, selain 17 telefon bimbit, tujuh komputer riba, 14 kad mesin juruwang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM10,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat JSJK, di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mengenai modus operandi, Dato’ Zainuddin berkata, semua mangsa didorong melabur dalam Forex menerusi platform EssenceFX menggunakan aplikasi Metatrade 4, dengan dijanjikan keuntungan antara lima hingga lapan peratus.

"Mangsa sedar ditipu apabila laman web berkenaan tidak boleh diakses lagi.

"Orang awam diminta jangan mudah percaya kepada testimoni, kenyataan dan janji palsu ditawarkan sindiket," katanya.

Semua suspek direman selama lima hari hingga esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Sumber: Berita Harian


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, CP Dato’ Zainuddin Yaacob dalam sidang media yang diadakan di Menara KPJ, Kuala Lumpur, petang tadi.
 

Sekitar Sidang Media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ, Kuala Lumpur.
 

Sekitar Sidang Media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ, Kuala Lumpur.
 

Sekitar Sidang Media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ, Kuala Lumpur.


Sekitar Sidang Media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ, Kuala Lumpur.
 

Sekitar Sidang Media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ, Kuala Lumpur.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS