Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Siaran Media

RAGBI PIALA AGONG 2025: PDRM PERTAHAN KEJUARAAN



Kuala Lumpur, 26 Oktober 2025 – Pasukan Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mengekalkan keunggulan apabila sekali lagi muncul juara dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong 2025 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) Arena, UM, petang tadi.

Final kali ini merupakan pertembungan ulangan musim lalu yang menyaksikan PDRM menewaskan Johor 43-29 di Stadium Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Cubaan Johor untuk mengekang dominasi PDRM bagaimanapun tidak berhasil apabila pasukan “The Blues” terus mempamerkan corak permainan bertenaga sejak wisel pertama, menutup separuh masa pertama dengan kelebihan tipis 8-7.

Memasuki babak kedua, Pasukan PDRM terus menggandakan asakan bagi menjarakkan kutipan mata, sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan tipis 18-17, sekali gus menobatkan Johor sebagai naib juara bagi edisi kali ini.

Penyampaian Piala Agong, medal dan replika cek kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu merangkap Penaung Diraja Kesatuan Ragbi Malaysia, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda turut berkenan menganugerahkan Pemain Terbaik kejohanan kepada pemain PDRM, Muhammad Amirul Aqil Kamsol.

Terdahulu, perlawanan penentuan tempat ketiga menyaksikan Kelantan menewaskan Perlis dengan kutipan mata 50-39.

Turut hadir, Ketua Staf Pasukan Khas Eastern Sabah Security Command merangkap Pengelola dan Pengurus Pasukan Ragbi PDRM, SAC Nasri Mansor, Timbalan Komandan (Latihan) Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, ACP Muhammad Najib Hamzah, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Encik Amir Amri Mohamad.

Seluruh warga PDRM merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Pasukan Ragbi PDRM atas kejayaan mempertahankan kejuaraan selama tiga tahun berturut-turut. Kejayaan ini mencerminkan semangat juang, disiplin dan komitmen tinggi yang menjadi kebanggaan seluruh warga pasukan.

Well done, The Blues! 💪🏆

Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 







PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS