Khidmat Mesra



Dalam usaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat, pucuk pimpinan PDRM telah memperkenalkan pendekatan KHIDMAT MESRA (Friendly Policing). Ini selaras dengan matlamat Kementerian Dalam Negeri untuk menjadikannya sebagai Kementerian MESRA RAKYAT.

Secara ringkasnya, MESRA didefinisikan sebagai interaksi yang harmoni antara individu yang berteraskan keikhlasan dan kejujuran. Mesra itu sendiri membawa maksud bahawa segala pemikiran dan tindakan itu mempunyai nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Dalam konteks PDRM, ia merujuk kepada interaksi ahli pasukan dengan pelanggan iaitu orang ramai.

Mesra juga merupakan satu cara berfikir dan tindakan yang boleh diaplikasikan dalam semua situasi kehidupan seharian dan semasa menjalankan tugas.

Pembudayaan Khidmat Mesra akan mudah dapat dilihat dalam tiga situasi iaitu dalam hubungan polis dengan rakyat, polis sesama sendiri dan anggota polis dengan ahli keluarga masing-masing. Konsep KHIDMAT MESRA ini adalah berteraskan kepada visi pasukan iaitu meningkatkan profesionalisme pegawai dan anggota. Hubungan mesra akan menjalinkan suasana yang harmonis dan saling menghormati antara polis dan orang ramai.

Matlamat membudayakan konsep KHIDMAT MESRA adalah untuk :-

Memupuk kesedaran di segenap lapisan pegawai dan anggota dalam PDRM bahawa kemesraan boleh membawa keharmonian dan kestabilan serta keyakinan rakyat kepada pasukan polis. Seterusnya dapat meningkatkan penyertaan dan kerjasama dua hala (polis dan orang ramai) dalam mengekalkan ketenteraman dan keselamatan negara. 

Rakyat melihat dan menilai pasukan polis sebagai satu badan penguatkuasa undang-undang yang adil, amanah dan bertimbang rasa. Setiap pegawai polis sebagai pelindung nyawa dan harta benda mereka. 
mempereratkan hubungan setiakawan di kalangan rakan sejawat serta memupuk semangat kerja berpasukan.
 
Untuk merealisasikan pendekatan ini Ketua Polis Negara telah mengisytiharkan Moto Pasukan Polis yang baru iaitu MESRA, CEPAT DAN BETUL sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-192 pada 25 Mac 1999.

Selaras dengan usaha membudayakan konsep MESRA ini, semua pegawai dan anggota PDRM akan memakai lencana di saku baju sebelah kiri sebagai tanda komited untuk mendukung iltizam pasukan ini.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS