Bukit Kepong

 

Tapak Balai Polis Bukit Kepong yang dibakar oleh pengganas komunis

Bukit Kepong adalah sebuah kampung terpencil yang terletak di tebing sungai Muar, Johor yang mempunyai lebih kurang 20 buah kedai kebanyakannya kepunyaan orang Cina. Kampung ini berdekatan dengan beberapa kampung Melayu dalam jarak persekitaran 3 ke 6 kilometer melalui jalan darat. Cara yang paling mudah untuk ke Bukit Kepong ialah melalui jalan raya ke Lenga dan melalui jalan sungai ke Bukit Kepong yang mengambil masa lebih kurang 2 jam.

Kedudukannya yang terpencil ini, menyebabkan Bukit Kepong terputus hubungan dengan dunia luar. Penduduk kampung ini adalah orang-orang yang sederhana, berani dan berdikari. Mereka banyak mencapai kejayaan dalam menentang pengganas komunis sejak bermulanya darurat. Insiden yang paling menarik bermula 18 bulan terdahulu apabila 3 orang Melayu bertembung dengan 3 orang pengganas komunis yang bersenjata.

Dengan hanya bersenjatakan pisau, mereka berjaya membunuh seorang pengganas, mencederakan dan menawan seorang lagi serta menyebabkan pengganas yang ketiga melarikan diri. Dalam pertempuran yang lain, pengawal kampung yang terdiri daripada 40 orang polis bantuan dan beberapa kumpulan bersenjatakan parang telah diberi penghargaan `Colonial Police Medals' ke atas keperwiraan mereka.


     Gambar kenangan anggota polis Bukit Kepong sebelum peristiwa serangan balai  pada 23 Febuari 1950


 Anggota polis pangkat rendah dan polis bantuan bergambar di hadapan  Balai Polis Bukit Kepong sebelum diserang

Pasukan Polis bantuan ini bekerjasama rapat dengan pasukan polis Bukit Kepong. Tiga orang daripada mereka sedang bertugas seperti biasa semasa Balai Polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan pengganas komunis (180 orang) lebih kurang jam 5.00 pagi, 23 Februari 1950. Pertahanan balai polis dan berek kelamin serta merta didirikan untuk menghadapi serangan hebat daripada pengganas komunis yang menggunakan senjata-senjata automatik yang mengepung balai polis. Tembak-menembak berlaku dengan sengitnya, dan pihak pengganas komunis mengarahkan supaya anggota polis menyerah diri tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Pertempuran berterusan dan beberapa orang anggota di balai polis terbunuh, sementara di berek kelamin pula anggota-anggota polis yang tidak bertugas terus bertempur sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota marin polis turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Memandangkan kekuatan pertahanan balai polis, komunis mula menggunakan taktik kotor. Mereka menangkap salah seorang isteri anggota polis dan mengacukan pistol kepadanya serta memaksanya menyuruh anggota-anggota yang bertahan di balai polis supaya menyerah diri. Anggota polis menyahut seruan itu dengan mengatakan bahawa mereka tidak akan menyerah diri dan akan terus berjuang. Seorang lagi isteri anggota polis dan anak perempuannya dipaksa keluar dan menyerah diri tetapi mereka enggan dan mereka sanggup mati. Akhirnya kedua mereka dibunuh. Pengganas komunis membakar berek kelamin, dua orang wanita dan kanak-kanak hangus dalam peringkat akhir pentempuran yang memakan masa 3 jam itu. Hanya tiga anggota polis termasuk seorang pengawal kampong yang masih hidup. Mereka terpaksa berlari keluar kerana mereka tidak dapat menahan kepanasan akibat daripada bangunan balai polis yang terbakar. Mereka merempuh kedudukan pengganas menyebabkan tiga orang komunis terbunuh. Hanya seorang sahaja berjaya menyeberangi sungai dengan rifle masih di tangannya.

Dato'Onn Jaafar (Menteri Besar Johor) sedang memeriksa tempat kejadian selepas serangan balai pada 24 Febuari 1950

Kesemua 21 orang anggota polis dan polis bantuan telah menghidupkan tradisi cemerlang pasukan polis dan keperwiraan mereka dengan menjadi contoh dan inspirasi kepada anggota lain pada masa hadapan. Dalam mempertahankan balai polis, 17 orang anggota telah terkorban.

Apabila bunyi pertempuran didengari oleh beberapa kampung dipersekitaran, pengawal kampung telahpun bersedia dan 7 orang daripada mereka bersama penghulu Ali bergegas ke Bukit Kepong. Lebih kurang ½ kilometer daripada Bukit Kepong mereka diserang  oleh sekumpulan pengganas komunis dan terjadilah pertempuran di situ.Mereka berjaya menentang kumpulan pengganas komunis tersebut. Pertempuran sengit seterusnya berlaku apabila kumpulan pengganas komunis yang berundur mendapat bantuan dari rakan-rakan mereka.

 Perlawanan yang tidak setanding di antara pengganas yang menggunakan senjata automatik dengan pengawal kampung yang bersenjatakan rifle, senapang patah dan parang menyebabkan beberapa orang pengawal kampung terkorban dan tercedera.

Keadaan ini memaksa Penghulu Ali mengerahkan anak buah yang cedera berundur, sementara yang lainnya bertahan di sekitar pekan Bukit Kepong. Setelah bertahan selama 2 jam, pengganas komunis pun berundur setelah membakar pejabat penghulu dan merompak kedai-kedai.

 Semasa pengawal kampung ini bertempur untuk membebaskan balai polis, sekumpulan pengawal kampung dari kampung Durian Chondong dengan menggunakan sampan menuju ke Bukit Kepong untuk memberi bantuan. Dalam perjalanan mereka telah diserang hendap oleh pengganas komunis. Mereka yang hanya seramai tujuh orang tidak mampu melawan. Separuh daripada anggota kumpulan ini bergerak menuju ke Lenga. Mereka sampai di sana pada jam 10.00 pagi, dan di sinilah berita pertama diterima mengenai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Apabila pengawal kampung berjaya memasuki pekan Bukit Kepong, mereka hanya dapat melihat kesan kemusnahan dan mayat-mayat yang terbujur. Buat sementara waktu penghulu mengambil alih pentadbiran sehingga pasukan polis daripada Muar sampai pada hari itu dan mendirikan balai polis baru. Mereka juga mewujudkan perhubungan semboyan di sebuah kedai kosong. Tindakan segera ini mendapat bantuan penduduk tempatan yang terdiri daripada orang Melayu tetapi di hati kecil mereka masih menyimpan tanda tanya sama ada kerajaan akan mendirikan sebuah balai polis yang baru atau tidak. Segala teka teki itu terjawab apabila Menteri Besar Johor Dato' Onn bin Jaafar yang diiringi oleh penasihat British dan Ketua Polis Johor tiba keesokan harinya. Beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan mendirikan sebuah balai yang moden.

Mayat anggota polis hangus terbakar

Kawasan balai menjadi "padang jarak padang terkukur" angkara kekejaman musuh

Pertempuran di Bukit Kepong merupakan suatu kekalahan dari segi fisikal tetapi memberi suatu kemenangan dari segi mental dan semangat perjuangan. Pasukan yang kecil bilangannya bersemangat dan kecekalan dalam mempertahankan maruah mereka dari tipu daya pengganas komunis supaya menyerah diri walaupun terpaksa berhadapan dengan musuh yang 10 kali ganda kekuatan daripada mereka. Pihak pengganas komunis juga mengalami kecederaan yang banyak. Ini ialah kemenangan bukan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri dan keluarga, sahabat handai tetapi kepada negara dan bangsa. Anggota-anggota polis boleh menyelamatkan nyawa mereka dan keluarga mereka dengan menyerah diri tetapi mereka sedar bahawa mereka berjuang kerana perkara yang lebih penting dari nyawa mereka. Mereka berjuang untuk menyelamatkan tanah air mereka dari dijajah oleh pengganas Komunis. Semoga Allah akan mencucuri rahmatNya ke atas roh-roh mereka.

MEREKA YANG TERKORBAN

Sjn. Jamil Mohd Shah

Ketua Polis Balai Bukit Kepong

MM 7493 Mohamad Jaafar

MM 3933 Hamzah Ahmad

MM 60 Ibrahim Adam

 

MM 8680 Jaafar Hassan

MM 9136 Hassan Othman

Kpl. 7068 Mohd Yassin Hj. Abdul Wahab

L/Kpl. 7186 Jidin Omar

 

MEREKA YANG CEDERA

MM Othman Yusof

MM Abu Bakar Daud

MM Ahmad Khalid

MM 7645 Yusof Rono



Y.B. Tan Sri Ghazali Shafie, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri  Sewaktu melawat Bukit Kepong pada 23 Feb. 1976 sedang menyiram air mawar di pusara anggota polis Bukit Kepong yang terkorban


Y.Bhg. Tan Sri Mohamed Hanif bin Omar sewaktu berkunjung ke Bukit Kepong pada 23 Februari 1976 bagi memperingati peristiwa Bukit Kepong


Sebahagian daripada anggota polis yang melawat ke pusara anggota polis Bukit  Kepong yang terkorban


Balai Polis Bukit Kepong hari ini. (sekarang Pondok Polis)


Pandangan belakang Balai Polis Bukit Kepong hari ini

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS