Jungle Squad

Anggota 'Jungle Squad' sewaktu darurat sedang memeriksa kenderaan yang lalu di satu sekatan jalan.

Pasukan polis berkonsepkan para-tentera lahir bersama institusi moden kepolisan pada 25 Mac 1807. Pasukan-pasukan polis yang dibentuk kemudiannya menjalankan tugas kepolisan dan ketenteraan. Begitu juga"Malay States Guides" yang dibentuk pada tahun 1826.

Pada tahun 1948, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengisytiharkan pemberontakan bersenjata yang pertama. PKM memperhebatkan gerakan ketenteraannya di seluruh negara. Mereka menyerang balai polis, membunuh dan mencederakan rakyat yang tidak memberi sokongan terhadap perjuangan komunis. PKM juga memusnahkan harta-harta awam dengan tujuan melumpuhkan ekonomi negara. Tiga strategi PKM juga untuk mencapai matlamatnya ialah   :

PERTAMA : Melemahkan dan memusnahkan ekonomi Tanah Melayu dengan "Operasi Bumi Hangus" ke atas ladang-ladang dan lombong-lombong;

KEDUA : Menguasai kawasan-kawasan bebas;

KETIGA : Memimpin pemberontakan melalui tentera pembebasan.Dengan usaha-usaha ini PKM akan dapat pula menyatukan kawasan-kawasan bebas tadi untuk membentuk sebuah Republik Komunis.

Untuk menangani masalah pemberontakan dalam negeri dan  memburu pengganas komunis di hutan sebuah pasukan yang berasaskan ketenteraan telah dibentuk dalam tahun 1948 dan dinamakan "Flying Squad". Oleh kerana tidak praktik dan sesuai, nama pasukan ini telah ditukarkan kepada "Jungle Squad" sejajar dengan peranannya membanteras pengganas komunis di hutan belantara. "Jungle Squad" diletakkan di bawah perintah Ketua Polis Daerah dengan  berkekuatan di antara 15-20 anggota tiap unit. Satu unit ditempatkan di setiap  daerah. Walaupun keanggotaan pasukan ini kecil tetapi peranan yang dimainkan amat membanggakan: Tanggungjawab yang diberikan kepada pasukan ini telah dilaksanakan dengan begitu cemerlang dan bersemangat sekali. Ini telah memberi tamparan yang begitu hebat kepada pengganas komunis.

Pada tahun 1951, "Jungle Squad" telah diperkuatkan dan diperlengkapkan lagi. Namanya juga telah ditukarkan kepada "Jungle Company".

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS