Pasukan Polis Kelantan

Anggota polis Negeri Kelantan bersama Panji-panji pada tahun 1922

Semasa Perjanjian Inggeris-Siam ditandatangani pada 1909, Kelantan telah pun mempunyai Pasukan Polis Melayu di bawah kawalan seorang putera raja, Tunku Sri Maharaja. Kekuatan pasukan seramai  268 orang. Di samping itu terdapat juga lebih kurang 60 anggota Polis Sikh yang dikenali sebagai Polis Tentera (Military Police). Polis ini berfungsi sebagai anggota kawalan dan pengiring.

Pada 1910  G. Cullen daripada pasukan polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States) telah dipinjamkan ke Kelantan sebagai Penguasa Polis dengan tugas menyusun semula Pasukan Polis Kelantan. Polis Tentera diserapkan ke dalam pasukan Polis Kelantan. Pusat Latihan Polis juga dibentuk. Tunku Sri Maharaja pula terus kekal sebagai Pesuruhjaya Polis.

Mulai tahun 1910, jawatan Penguasa Polis ditukar kepada  Ketua Pegawai Polis. G. Cullen mengetuai polis Kelantan selama 3 tahun dan dia banyak membantu memajukan pasukan tersebut. G. Cullen digantikan oleh Kapten Tomlison dan menjawat jawatan Ketua Pegawai Polis selama setahun. Pada 28 April 1913, Kapten H.A. Anderson menggantikan Tomlison.

Anderson memperkukuhkan Pasukan Polis Kelantan dengan menekankan corak disiplin ketenteraan. Apabila perang 1914 meletus, beliau diminta membantu mengaturkan dan mengorganisasikan polis sukarelawan yang dianggotai oleh orang Eropah di Kelantan.

Dalam tahun 1915, beliau meninggalkan Tanah Melayu dengan tujuan untuk menganggotai semula Angkatan Tentera. Beliau berkhidmat dalam masa yang singkat kerana jatuh sakit.

Semasa ketiadaannya, kebangkitan yang dipimpin oleh Tok Janggut meletus di Kelantan terutamanya di Pasir Putih. Seorang anggota polis berpangkat Sarjan  telah dibunuh oleh kumpulan Tok Janggut. Kebangkitan itu dapat dipadamkan oleh Inggeris yang mendapat bantuan polis Singapura.

Anderson bersara dalam tahun 1934 dan terns menetap di Kota Bharu. Semasa pendudukan Jepun, beliau telah ditahan di Singapura. Selepas dibebaskan, beliau kembali ke Kota Bharu dan meninggal dunia di sana pada 24 Jan. 1955.

Beliau digantikan oleh D. Hillary, selepas itu E.C. Tidy dan   E.W. Mumford. Kekuatan Pasukan Polis Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua ialah seramai 388 anggota.

 

Kapt. Anderson dan pegawai-pegawai polis Kelantan di Kota Bharu pada bulan Mei 1930


Balai Polis Tangga Bradley Kuala Krai, Kelantan.


Balai Polis Pengkalan Kubur,Tumpat, Kelantan pada tahun 1904 

 Balai Polis Balam, Kelantan pada tahun 1900


Pemandangan Sungai Golok daripada hadapan Balai Polis Pengkalan Kubur 

 Balai Polis Kuala Krai Kelantan tahun 1900

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS