Pasukan Polis Sabah

'Skuad Terbang' polis tempatan dengan kerbaunya pada awal tahun 1700-an

Pada tahun 1888, Sabah, Sarawak dan Brunei diletakkan di bawah naungan Inggeris. Sabah ditadbirkan oleh British North Borneo Chartered Company. Untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan terutamanya dari gangguan lanun yang sering mengganas di persisiran Sabah, sebuah pasukan polis dibentuk pada tahun 1881. Pasukan yang dikenali sebagai North Borneo Armed Constabulary itu diusahakan penubuhannya oleh Kapten Harrington, bekas Riffle Brigade. Beliau ialah saudara Lt. Col C.H. Harrington yang menjadi Komandan North Borneo Armed Constabulary dari tahun 1889 hingga 1921. Komandan adalah pemerintah tertinggi pasukan polis Sabah dikala itu.

Anggota-anggota pasukan polis North Borneo Armed Constabulary ini berbangsa Sikh dan Pattan yang didatangkan dari India. Khidmat dan kesetiaan mereka amat disanjungi oleh pihak Inggeris.

Pada tahun 1882 pasukan North Borneo Armed Constabulary merancang untuk mengambil 200 orang anggota tetapi pihak Lembaga Pengarah North Borneo Chartered Company hanya meluluskan 50 dan hal ini membuatkan Kapten Harrington tidak puas hati lalu meletakkan jawatan. Beliau kemudiannya digantikan oleh Kapten A.M. de Fontaine pada tahun 1883.

Di bawah Kapten A.M. de Fontaine, North Borneo Armed Constabulary dirombak dan disusun semula untuk disesuaikan dengan keperluan dan kehendak-kehendak keadaan setempat. North Borneo Armed Constabulary tidak lagi dianggotai oleh anggota-anggota dari India tetapi turut mempunyai anggota peribumi tempatan yang terdiri dari suku kaum Dayak, Somalis dan Melayu Brunei. Jumlah keanggotaan North Borneo Armed Constabulary pada tahun 1883 ialah seramai 153 orang.

Anak muda kaum peribumi diambil berkhidmat dengan North Borneo Armed Constabulary kerana kesesuaian mereka menjalankan tugas di North Borneo terutama kerana mereka telah faham dan mengerti adat resam setempat. Bilangan anak tempatan pada mulanya hanya berjumlah 15 orang.

Pegawai anggota peribumi ini adalah orang Inggeris. Pengambilan dijalankan oleh pegawai Inggeris bernama Prayer dan Davis. Kaum Somalis dan Melayu dibawa dari Labuan dan Negeri-negeri Selat disamping sejumlah kecil kaum Dayak dari Sarawak.

Tugas dan tanggungjawab North Borneo Armed Constabulary meliputi tugas-tugas kepolisan dan ketenteraan. Di samping menguatkuasa undang-undang, mereka menjaga keselamatan dan ketenteraman serta memelihara kedaulatan negeri dan membasmi lanun di laut, penyiasatan kes-kes jenayah dan menghapuskan apa juga pemberontakan atau pencerobohan.

 
Matheson, Pesuruhjaya Polis Sabah Tahun 1930 

  

Encik R.T.M. Henry QRM, C.P.M., P.K.J., Pesuruhjaya Polis Sabah 21 November 1965

Senjata-senjata yang digunakan oleh anggota-anggota North Borneo Armed Constabulary di masa itu ialah senapang jenis Snider Enfields. Senapang jenis yang sama juga diberikan kepada anggota kaum Somalis. Anggota-anggota bangsa Melayu dan kaum Dayak pula menerima senapang Snit Carbines.

Kebangkitan nasionalisme peribumi di North Borneo wujud sejak tahun 1896. Banyak penentangan bersenjata terjadi. Antaranya ialah penentangan yang diketuai oleh Antanom. Pahlawan Murut ini membantah cukai kepala yang dikenakan oleh Inggeris terhadap mereka.

Dua tahun kemudian (1898) seorang lagi anak watan Sabah bangun memimpin pemberontakan terhadap Inggeris. Pejuang yang gigih dan berani itu bernama Mat Salleh.

Bila Gabenor Humphreys mengambil alih pentadbiran North Borneo (1929), dia memberikan perhatian yang serius terhadap pembesaran, pemodenan dan mempercekapkan serta memperkuatkan North Borneo Armed Constabulary bagi menghadapi keperluan dan suasana semasa.

Untuk itu jawatan komandan, pemerintah tertinggi North Borneo Armed Constabulary, dihapuskan dan digantikan dengan nama Pesuruhjaya Polis. Jawatan Pesuruhjaya Polis itu terus dikekalkan hingga ke hari ini.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Jepun berjaya menduduki North Borneo pada tahun 1942. Sebelum itu tentera Jepun terpaksa berdepan dengan pasukan North Borneo Armed Constabulary. Tentera Jepun yang lebih maju dalam kelengkapan dan persenjataan akhirnya berjaya menewaskan pertahanan North Borneo Armed Constabulary yang bukan sahaja kurang dari segi keanggotaan tetapi juga tidak cukup perbekalannya. Perjuangan mereka lebih berbekal dengan semangat dan keberanian. Namun bagitu mereka tidak mudah menyerah kalah.

Selepas Jepun kalah, kerajaan kolonial Inggeris yang mentadbir North Borneo menyusun semula organisasi dan sistem pentadbiran polis di situ. Sebuah pasukan polis North Borneo (North Borneo Police Force) dibentuk pada tahun 1946 menggantikan North Borneo Armed Constabulary yang dibubarkan. Semua pegawai dan anggota North Borneo Armed Constabulary diserapkan ke dalam pasukan baru ini. Dalam kaitan ini pengambilan anggota baru dijalankan dengan pesatnya.

Kontinjen Kavalri Polis Sikh pada hujung tahun 1890an


Berek Polis di Jesselton (sekarang dikenali sebagai Kota Kinabalu)

Pesuruhjaya Polis pada masa itu ialah D. Matheson, seorang pegawai yang berpengalaman dari England. Beliau memegang jawatan tersebut hingga 1 Disember 1954. Selama bertugas D. Matheson berusaha keras memodenkan Pasukan Polis North Borneo. Beliau juga menyusun semula sistem pentadbiran yang wujud di komponen Sabah pada hari ini. Dalam hal ini kawasan polis yang dulunya dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Pantai Barat dan Pantai Timur dipecahkan pula kepada empat bahagian iaitu Pantai Barat, Pendalaman, Tawau dan Sandakan, iaitu mengikut sistem pentadbiran awam negeri. Tiap-tiap bahagian polis diketuai oleh Penguasa Polis Bahagian (Divisional Superintendent of Police). Bahagian polis juga dipecahkan pula kepada daerah-daerah polis yang diketuai oleh seorang Ketua Polis Daerah. Kemudiannya tiap-tiap daerah itu dipecahkan mengikut kawasan-kawasan balai polis. Balai-balai polis diketuai oleh Ketua Polis Balai. Sistem ini masih diteruskan hingga sekarang.

Mulai dari tahun 1963, Pasukan Polis North Borneo diserapkan ke dalam Pasukan Polis DiRaja Malaysia yang bertanggunjawab kepada Ketua Polis Negara. Segala arahan dan dasar pasukan dibuat oleh Ibu Pejabat Ketua Polis Negara, Kuala Lumpur. Polis Sabah dianggap sebagai sebuah formasi polis seperti di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia tetapi tetap dikekalkan sebagai Komponen Sabah sama juga seperti di Sarawak. Dengan ini juga Polis Komponen Sabah tertakluk Akta Polis 1967.

 

Pegawai-pegawai bertauliah dan tanpa tauliah, Pasukan Polis 'detachment' Sandakan dalam tahun 1913


Perkhidmatan memandamkan kebakaran juga adalah sebahagian dari tugas-tugas polis. Kelihatan anggota bomba di depot kebakaran Labuan.

 
Anggota polis tempatan Sabah


Pasukan Polis Sabah di awal tahun 1900

 
Kawalan Kehormatan oleh Pasukan Polis Borneo Utara sewaktu lawatan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ke Borneo Utara pada 3 Januari 1959


'Home Guard' Sabah tahun 1960-an


Anggota Polis Sabah tahun 1950-an

 

Kontinjen polis Sikh di dalam satu perbarisan pada Hari Charter di Sandakan tahun 1891

Tugu peringatan didirikan di Tambunan bagi memperingati Mat Salleh

  
Unit Simpanan Polis menjalani latihan di Kota Kinabalu

 

Pahlawan tempatan Borneo Utara Mat Salleh

Court of Director' - British North Borneo Company dengan Kontinjen Polis Dayak yang mengambil bahagian di dalam perbarisan perayaan Diamond Jublee 

 
Tuan West Ridgeway, Pengerusi Chartered Company memeriksa barisan kehormatan terdiri daripada anggota polis Borneo Utara di Jesselton tahun 1915 


Penjara di Batu Tiga, Jesselton 1915

 
Komandan dan pegawai-pegawai Angkatan Tentera Polis Borneo Utara British di Sandakan dalam tahun 1891

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS