Pasukan Polis Terengganu

 

Engku Abu Bakar Tengku Sri Wangsa Diraja, Ketua Polis Terengganu

Di Kuala Terengganu, sebuah pasukan polis telah pun terbentuk di awal-awal abad kedua puluh di bawah perintah Tunku Panglima Besar. Menjelang tahun 1914 kekuatan pasukan polis Terengganu hanya 18 orang terdiri dari anggota berpangkat  konstabel.

Pada tahun 1916, Sultan Terengganu, yang bertindak atas nasihat wakil British meminta Pesuruhjaya Tinggi menghantar seorang pegawai Polis British untuk membantu menyusun semula pasukan Polis Terengganu. Permintaan Sultan tidak dipenuhi kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama pada masa itu.

Satu langkah yang berkesan telah diambil dalam tahun 1917 apabila lapan ketua kampung dilantik berserta sekumpulan kecil anggota polis di bawah mereka.

Pada tahun 1919, perjanjian Terengganu telah disemak, dan Sultan bersetuju menerima Penasihat British seperti negeri-negeri Melayu yang lain. Kedatangan Penasihat Inggeris itu turut membawa pembaharuan kepada sistem kepolisan negeri Terengganu. Ini jelas kelihatan apabila kekuatan Pasukan Polis Terengganu meningkat 240 anggota dalam tahun 1920. Seorang pegawai polis Eropah telah dipinjamkan bertugas di negeri tersebut. Beliau  ialah  E Cheers.

E Cheers yang pernah berkhidmat dengan Polis Johor telah diberi jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Terengganu. Sementara Tunku Panglima Besar dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Polis, akan tetapi kuasa kedua-duanya adalah sama. Cheers diberi kerjasama dan sokongan dalam usahanya menyusun semula sistem dan pentadbiran pasukan Polis Terengganu.

Tunku Besar meninggal dunia tahun 1921. Pengganti beliau memegang jawatan Pesuruhjaya Melayu. Pesuruhjaya Polis Inggeris diberi kuasa sepenuhnya untuk memimpin dan mengawal pasukan. Cheers kemudiannya digantikan oleh M. L. Wynne pada  bulan Oktober 1923.

Sejak itu pasukan Polis Terengganu terus berkembang maju sejajar dengan kemajuan polis di negeri-negeri Melayu yang lain. Pasukan Polis Terengganu juga menggunakan Sultan untuk menggalakkan orang-orang Melayu berkhidmat dalam pasukan polis. Seorang Sultan Terengganu pernah menjadi Sab-Inspektor percubaan dalam tahun 1924. Dalam tahun berikutnya Tengku Muhamad, putera Sultan Ahmad dari Pahang dipinjamkan dari Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Tengku Muhamad kemudiannya dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya. Beliau memainkan peranan penting memajukan pasukan polis Terengganu. Menjelang Perang Dunia Kedua kekuatan Pasukan Polis Terengganu meningkat ke-374 orang anggota.

 

Tengku Panglima Besar
Ketua Pesuruhjaya Negeri Terengganu

Anggota Polis Terengganu
dalam satu perbarisan sekembali
dari kebangkitan Tok Janggut dalam tahun 1928

      

Encik E. Cheers
Pesuruhjaya Polis
Negeri Terengganu
tahun 1920

Encik M. L. Wynne
Pesuruhjaya Polis
Negeri Terengganu
tahun 1923

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS