Pengurniaan Panji-Panji Polis Diraja Persekutuan

Panji Diraja yang dikurniakan kepada Polis Persekutuan Tanah Melayu pada 11 November 1961

11 November 1961 merupakan satu lagi hari bersejarah bagi Pasukan Polis apabila pengurniaan panji-panji oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, berlangsung di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney (Jalan Semarak) Kuala Lumpur.

Menurut titah DYMM Yang Dipertuan Agong, pengurniaan panji-panji itu adalah satu penghargaan terhadap kegemilangan dan kesetiaan yang diperlihatkan oleh anggota-anggota polis dalam melaksanakan tugas sebagai pengaman dan pelindung rakyat semasa negara dalam darurat selama 12 tahun.

Baginda juga menegaskan bahawa sejak darurat diisytiharkan dalam tahun 1948, Pasukan Polis telah diberikan tanggungjawab utama untuk memerangi dan mematahkan pemberontakan PKM. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan anggota-anggota polis termasuk Polis Bantuan dan Special Constabulary, telah berjaya melancarkan gerakan ketenteraan terhadap komunis di seluruh negara. Semasa darurat, polis telah berjaya membunuh 5,792 dari jumlah keseluruhan 10,698. Sementara itu, seramai 1,346 anggota polis terkorban dan 1,601 tercedera dalam usaha mereka mempertahankan kedaulatan negara.

Pengurniaan dan panji itu bukan saja satu perakuan dan penghargaan di atas segala sumbangan, pengorbanan dan khidmat bakti oleh pegawai anggota polis semasa menentang komunis dahulu tetapi diharapkan menjadi inspirasi kepada generasi masa hadapan pasukan polis agar dapat berkhidmat dengan lebih bersungguh-sungguh dan cemerlang lagi. Malah diharap juga ini akan menjadi peringatan kepada pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat dan akan berkhidmat dengan pasukan polis bahawa kecemerlangan dan iltizam yang telah diperlihatkan oleh anggota-anggotanya yang terdahulu, yang sanggup berjuang sehingga ketitisan darah yang terakhir, yang sanggup berkorban jiwa raga mereka demi kedaulatan tanahair, menjadi teladan di hari ini. 

 

Watikah pengistiharan pengaugerahan Panji-panji Diraja kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu  di Pusat Latihan Polis pada 1 November 1961

 

Keberangkatan tiba DYMM Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalulail Yang Dipertuan Agong yang ketiga diiringi oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Sir Claude Fenner.

 

Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong sedang memeriksa perbarisan

 

Panji Diraja dikurniakan kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu pada 11 November 1961


KDYMM Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamululail, Yang Dipertuan Agong ketiga sedang menerima tabik hormat ketika penganugerhan Panji-panji Polis Diraja Persekutuan Tanah Melayu


Detachment Polis Wanita turut mengambil bahagian sempena perbarisan penganugerahan Panji-panji Polis Diraja Persekutuan Tanah Melayu

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS