Polis Pulau Pinang

Pada 11 Ogos 1786, Francis Light mendarat di Pulau Pinang dan menamakannya sebagai Prince of Wales Island. Dia bertindak atas nama East India Company yang bermarkas di India. Penduduk-penduduk di Pulau Pinang pada masa itu adalah nelayan-nelayan Melayu yang kecil bilangannya. Tiga tahun kemudian, penduduk Pulau Pinang meningkat ke 10,000 orang ditambah pula dengan pendatang-pendatang dari luar negeri. Di kala itu Francis Light mendapati adalah mustahak baginya untuk menubuhkan satu badan polis bagi menjaga keselamatan di Pulau Pinang. Dia membuat rayuan kepada ketua-ketuanya di India berkenaan perkara ini tetapi tidak mendapat layanan. 

Dalam pada itu dia diberi pangkat sebagai Superintendent dan diarahkan menjalani kerjanya bersendirian. Dengan itu, dia terpaksalah menggunakan sepoi-sepoi yang datang bersama-sama beliau dari India. Namun sepoi-sepoi ini didapati tidak berdisiplin.

Dalam tahun 1787, beberapa rusuhan telah berlaku di Pulau Pinang. Beberapa kelasi bangsa Eropah telah terlibat dan 2 orang Siam telah terbunuh. Sekali lagi Francis Light menulis surat kepada Governor-General East India Company (Lord Cornwallis) di India untuk mengadakan undang-undang dan menubuhkan satu pasukan polis di pulau tersebut tetapi ini juga ditolak.

Walau bagaimanapun, dengan kebijaksanaannya, dalam tahun 1792, Francis Light melantik ketua kaum yang dinamakan "Captain" bagi tiap-tiap kaum Melayu, Cina dan Chulia (kaum India Selatan). Mereka ini bertindak selaku majistret di dalam kes-kes kecil. Bagi kes-kes lain yang tertuduh akan dibawa ke hadapan Superintendent. Setiap Kapten ini juga bertanggungjawab mengawal beberapa daerah dengan dibantu oleh 5 orang "peon". Peon-peon ini boleh dianggap sebagai konstabel yang pertama di dalam keanggotaan pegawai pangkat rendah polis yang wujud sehingga kini.

Tugas dan tanggungjawab polis pada masa itu termasuk berbagai aspek pentadbiran seperti kawalan pembekalan air dan pendaftaran "beranak mati". Kemudian dari itu, termasuklah juga mencegah kebakaran dan tugas-tugas penjara. Walau bagaimanapun, kerja-kerja utama mereka adalah tetap selaku pelaksana undang-undang seperti yang dilakukan pada masa ini.

Cara menjaga keselamatan dengan mengadakan Kapten ini tidak sepenuhnya berjaya oleh sebab Francis Light tidak dapat melantik Kapten bagi orang - orang Eropah. Mereka ini semakin bersikap sombong kerana menyedari yang mereka ini bebas daripada undang-undang. Pada tahun 1793 apabila orang Eropah terlibat dalam satu kes pembunuhan, Francis Light tidak boleh bertindak kerana dia tidak diberi kuasa bertindak terhadap orang-orang Eropah.

Sehingga tempoh ini Francis Light telah beberapa kali menghantar permohonan kepada Lembaga Pengarah East India Company untuk menubuhkan satu pasukan polis yang rasmi tetapi tidak juga mendapat sambutan. Pada 21 Oktober 1794 beliau meninggal dunia dan diganti oleh Major Forbes Ross Macdonald dalam tahun 1796.

Kemudiannya, Kol. Arthur Wellesley singgah di Pulau Pinang dalam perjalanannya ke Manila. Dia telah membuat catatan yang menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan keselamatan di Pulau Pinang dan menggesa supaya seorang majistret bangsa Eropah dilantik.

Pada 19 April 1800 Sir George Leith tiba di Pulau Pinang untuk memegang jawatan baru selaku Lieutenant-General. Empat bulan kemudian John Dicken dilantik sebagai Hakim dan Majistret yang pertama di Pulau Pinang.

Pada awal tahun 1804, R.T. Farquhar tiba di Pulau Pinang menggantikan  Sir George Leith selaku Lieutenant-General. Keadaan pasukan polis pada masa itu masih lagi lemah. Berbagai jenis kesalahan dilakukan setiap hari dengan bebasnya tanpa diambil tindakan dan tanpa dihukum. Dalam tahun 1805, seluruh pentadbiran Pulau Pinang dirombak semula, dan taraf pulau itu ditingkatkan. Seorang Gabenor dilantik dan Dewan Majlis yang bertanggungjawab kepada kerajaan India ditubuhkan.

Pada 25 Mac 1807, sebuah "Charter" (piagam) diterima. Dengan ini Pulau Pinang bolehlah mengadakan Mahkamah Keadilan yang sebenar selain boleh menubuhkan satu organisasi polis yang lebih baik berlandaskan 'Piagam Keadilan' (Charter of Justice). Piagam ini telah mewujudkan satu  undang-undang yang jelas bagi mereka yang dipertanggungjawabkan melaksanakannya.


Balai Polis Hutton Lane pada tahun 1880



Mahkamah Pulau Pinang dalam tahun 1880



Balai Polis Jalan Brick Kiln 1800



Sebahagian anggota polis khas yang terlibat dengan sekatan jalanraya di Cannon Square, 3 Ogos 1867


Pasukan Bomba Polis Pulau Pinang pada tahun 1883



Perbarisan kehormat sempena pembukaan rasmi 'Spring Court' pada  12 Januari 1948 oleh Polis Merin Pulau Pinang


Balai Polis Lama Light Pulau Pinang 23 Jun 1883



Gambar diambil dalam tahun 1929 di Balai Polis Jalan Pitt Pulau Pinang



Balai Polis Simpang Enam Pulau Pinang, 1900


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS