Sistem Salleh

Pondok Polis Sistem Salleh

Tun Salleh Ismail, Ketua Polis Negara Ke 2 Pengasas Sistem Salleh

Sistem Salleh ialah satu konsep yang dikemukakan oleh Tun Salleh Ismail, Ketua Polis Negara Kedua dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan tindakan membasmi jenayah dengan melibatkan orang ramai secara langsung. Sistem mencegah jenayah sebelum itu tidak begitu berkesan, dan ini ternyata apabila memerhatikan kepada peningkatan kejadian jenayah dalam pertengahan tahun 1960-an yang agak membimbangkan.

Pada bulan September, 1967, Cawangan Penyelidikan dan Perancangan PDRM telah merangka dan menyusun satu konsep baru yang dinamakan "Sistem Salleh", iaitu sebagai mengambil sempena nama Ketua Polis Negara pada masa itu Tun Salleh Ismail.

Untuk menguji keberkesanan sistem ini, ia telah cuba dilaksanakan di Petaling Jaya pada bulan Februari, 1968. Percubaan ini ternyata berkesan dan berjaya menurunkan kadar jenayah di kawasan Petaling Jaya. Arahan dikeluarkan pada 7hb. Jun, 1968 menerusi Perintah Pasukan PDRM supaya sistem ini dilaksanakan di semua Kontinjen.

Tujuan utama rancangan ini ialah untuk melatih anggota polis supaya lebih bertanggungjawab dan boleh diterima oleh orang ramai sebagai sahabat. Dengan demikian sistem ini diharapkan menukar corak anggota polis supaya insaf bahawa perkhidmatan mereka amat diperlukan dan mereka adalah seorang pengawai penguatkuasa undang-undang.

Arahan itu juga menjelaskan dengan terperinci tujuan-tujuannya, iaitu:

  • memupuk perasaan orang ramai melalui cara berdampingan dengan orang-orang yang menjalankan beat supaya mendapat kepercayaan;

  • memberi bantuan dengan segera kepada orang ramai dengan cara bersedia ke atas panggilan bantuan dan menerima pengaduan-pengaduan;

  • memudahkan kerja dengan  menambah dan memperbaiki aliran maklumat;

  • menyediakan satu sistem yang menarik dengan tujuan melindungi atau mengurangkan kadar jenayah.

  • menanam semangat kepada pegawai-pegawai polis berhubung dengan tugas-tugas mereka dengan cara menyatukan pengetahuan yang didapati; 

Pondok Polis Sistem Salleh


Pondok Jalan Gurney Kuala Lumpur 

Sistem ini dilaksanakan dengan cara:

  1. Setiap kawasan balai polis dibahagikan kepada patrol, sektor, ward dan zon dengan garis sempadan yang jelas menunjukkan di mana letaknya kawasan itu, faktor-faktor persaingan, luas dan sebagainya. Satu beat atau lebih; atau satu patrol atau lebih atau satu beat dan satu patrol boleh dijadikan satu sektor. Dua sektor atau lebih menjadi satu ward. Dua ward atau lebih menjadi satu zon.

  2. Pegawai-pegawai, Anggota Pangkat Rendah dan konstabel diberi tanggungjawab di atas kawasan-kawasan tertentu untuk membolehkan mereka faham kawasan masing-masing dan bertanggungjawab ke atas sebarang kejadian yang berlaku akibat kecuaian polis.

  3. Setiap zon di bawah pengawasan pegawai dan Anggota Pangkat Rendah yang menjaga ward. Pegawai zon pula bertanggungjawab kepada Ketua Polis Daerah.

  4. Anggota Pangkat Rendah/Konstabel yang dipilih mengawal dan menjalankan tugas beat; patrol dan sektor akan ditempatkan sekurang-kurangnya 12 bulan untuk membolehkan mereka mengetahui selok-belok kawasan dan penduduk-penduduknya.

  5. Pegawai-pegawai, Anggota Pangkat Rendah dan konstabel dikehendaki mengkaji, berkenalan dan berhubung mesra dengan penduduk kawasan masing-masing untuk mewujudkan keyakinan orang ramai terhadap mereka. Mereka juga mesti berusaha mengumpulkan sebarang maklumat mengenai kawasan masing-masing.

  6. Kalau boleh, pegawai-pegawai, Anggota Pangkat Rendah dan konstabel akan tinggal di dalam kawasan masing-masing dan bergerak di kawasan mereka.

  7. Dengan adanya pengetahuan yang lengkap tentang setiap penduduk dalam kawasan masing-masing, sebarang kejadian akan mudah dikesan.

  8. Dengan pengetahuan itu juga akan mewujudkan keyakinan dan keselamatan anggota-anggota polis untuk menjalankan tugas-tugas mereka.

  9. Pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh anggota-anggota polis dikawasan masing-masing akan mempertingkatkan lagi kecekapan dan mewujudkan sikap bertanggungjawab di kalangan anggota.

Untuk mewujudkan dan melaksanakan sistem tersebut sepenuhnya, iaitu sebelum dituju kawasan-kawasan beat, patrol, sektor dan ward kajian yang teliti telah dibuat dari berbagai segi kedudukan, keluasan, jumlah penduduk dan pecahan bangsa, kadar jenayah, kongsi gelap, peta, sensitiviti sesuatu kawasan sejarah (pengaduan/perseteruan antara puak), situasi politik serta kegiatan subversif.

Operasi Sistem Salleh itu diperkemaskan dengan adanya rondaan beat biasa (termasuk jalan kaki, berbasikal atau bermotorsikal) rondaan berkereta (Mobile Patrol Vehicles)  Anggota-anggota yang membuat ronda dibekalkan dengan Walkie-talkie bagi memudahkan mereka menghubungi atau supaya dapat bergerak dan bertindak dengan pantas apabila berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini.

Sistem Salleh mewujudkan beat pondok polis di bandar atau di kampung-kampung di seluruh negara. Pondok-pondok polis diwujudkan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti keperluannya seperti di kawasan-kawasan kawasan yang sering dikunjungi oleh orang, kawasan perumahan dan juga kampung-kampung yang dipilih.

Kehadiran anggota polis akan mewujudkan keyakinan orang ramai terhadap polis. Hubungan yang baik antara kedua pihak akan memupuk sikap saling memahami akan masalah masing-masing. Dengan cara itu kerjasama dan sokongan ramai kepada polis terutama dalam usaha mencegah jenayah dapat ditingkatkan lagi dari masa ke semasa.

Pondok-pondok polis ini biasanya diketuai seorang anggota berpangkat koperal dan dua konstabel. Bagi memastikan kelancaran sistem ini, maklumat diwujudkan dan digerakkan di setiap balai. Bilik ini diperlengkapkan dengan pelbagai maklumat bagi memudahkan anggota polis menjalankan tugas rondaan dan beat, antaranya:

  1. peta kawasan

  2. rekod-rekod kesalahan, jenis kesalahan, `modus operandi' jenayah, butir-butir peribadi orang yang disyaki, tempat-tempat yang selalu berlaku kejadian jenayah dan sebagainya.

  3. maklumat-maklumat lain yang dirasakan perlu.

Keberkesanan Sistem Salleh dalam mengekang, mengawal dan membasmi jenayah tidak dapat dinafikan. Keyakinan orang ramai terhadap PDRM semakin meningkat. Pada tahun 1968 Tun Abd. Razak, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berjaya melibatkan kerjasama orang ramai.

Dilihat dari aspek hubungan polis dengan orang awam, Sistem Salleh juga berjaya mewujudkan satu situasi di mana orang awam tidak lagi menganggap polis sebagai satu institusi yang ditakuti, malah sebagai kawan yang memberi pertolongan bila diperlukan.

Wujudnya hubungan baik polis-orang ramai, akan memudahkan pihak polis melakukan tugasnya sebagai pegawai keamanan dan keselamatan negara.


Pondok Polis Changkat Thambi Dollah, Kuala Lumpur

 

Pondok Polis Kampung Chendana, Kuala Lumpur


 Pondok Polis Hospital Besar, Kuala Lumpur


 Pondok Polis Jalan Campbell, Kuala Lumpur

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS