Kuala Lumpur, 17 Mac 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan pemantauan berhubung penipuan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Razarudin Husain berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan iklan yang dikeluarkan di media sosial.
"Kita mengambil maklum mengenai perkara ini dan sentiasa menasihati orang ramai, termasuk melakukan pemantauan bagi memastikan masyarakat umum tidak tertipu.
"Hampir setiap hari juga PDRM mengeluarkan kenyataan mengenai penipuan ini, namun masih ada segelintir individu yang terpedaya dengan iklan sebegitu," katanya dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KOP Mantap Berhad bersama Rakan Strategik di Maktab PDRM, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Dato' Razarudin berkata, masyarakat umum dinasihatkan untuk memeriksa terlebih dahulu iklan yang tular di media sosial bagi memastikan tidak menjadi mangsa pelbagai aktiviti penipuan sama ada dalam talian, internet, pelaburan dan jual beli barang.
Sumber: Berita Harian