Kuala Lumpur, 23 Julai 2024 - Polis mengesan sindiket penipuan menawarkan pembelian barangan terpakai menggunakan taktik "phishing" yang mengakibatkan kerugian lebih RM243,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menerima sembilan laporan penipuan berkaitan tawaran perkhidmatan "Eco Recycling" sejak Mei lalu.
"Melalui iklan itu, pihak syarikat menawarkan pembelian pelbagai barangan terpakai seperti barangan elektrik, gajet, surat khabar, pakaian dan lain-lain.
"Mangsa yang berminat untuk menjual barangan terpakai diminta mendaftar di aplikasi "Home Solution" yang perlu dimuat turun menggunakan pautan yang akan dihantar melalui Whatsapp.
"Selepas mendaftar, mangsa dikehendaki membuat pembayaran deposit RM10 kononnya untuk menempah slot bagi kutipan barangan yang ingin dijual. Mangsa kemudian dibawa ke laman web perbankan palsu yang bertujuan untuk mendapatkan data nama pengguna dan kata laluan mangsa.
"Setelah memasukkan nama pengguna dan kata laluan, laman web tersebut tidak dapat diakses kononnya sedang diselenggara," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.