Sebanyak 22 rangka mayat dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dikeluarkan di Bukit Wang Burma, Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, telah berjaya dibawa turun.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Datin Asmawati Ahmad berkata, semua mayat itu dibawa turun pada jam 9.45 malam dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah untuk tindakan pakar patologi.
Semua 22 rangka manusia yang berkafan itu ditemui di kawasan ditandakan sebagai Sektor A.
Operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat dilakukan oleh pasukan Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber: Berita Harian