Kota Kinabalu - Polis menafikan berita kononnya seorang budak perempuan nyaris diculik di Kolombong di sini, hingga tersebar luas di laman sosial.
Berdasarkan penyebaran maklumat berserta gambar kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu bersama beberapa anggota polis bermotosikal, budak terbabit kononnya diculik berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolombong.
Individu yang memuat naik maklumat tidak benar itu turut menyatakan kononnya kanak-kanak terbabit terselamat selepas menjerit ketika cuba diculik hingga mendapat perhatian ibu bapanya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata tiada kes cubaan culik berlaku, sebaliknya kanak-kanak itu ditemui di tepi jalan oleh orang awam yang mengenali ibu bapanya sebelum mereka dihubungi.
Sumber: Berita Harian