Kota kinabalu - Hajat dua pengedar dadah termasuk seorang wanita untuk meraih keuntungan hasil penjualan dadah terbantut apabila mereka dicekup di sebuah restoran di sebuah pusat beli-belah di sini, Jumaat lalu.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang dipercayai ketika sedang menunggu pelanggan di restoran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, siasatan awal mendapati, suspek lelaki merupakan adik ipar kepada suspek wanita tersebut.
Katanya, pemeriksaan ke atas beg tangan yang dibawa wanita itu menemukan enam paket plastik lutsinar pelbagai saiz dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.
Anggaran berat syabu yang dirampas ialah 301.50 gram dengan nilai mencecah RM42,000," katanya.
Sumber: Kosmo