WAR AGAINST DRUGS: LAGI PENGEDAR PIL KUDA DITAHAN DI KELANTAN
Pasir Mas, 19 Julai 2017 - Polis merampas 870 biji pil kuda dan 40 paket air ketum bernilai lebih RM120,000 menerusi tiga serbuan di sekitar daerah ini.
Serbuan yang dilakukan sejak kelmarin hingga semalam di Kampung Lubok Setol, Kampung Alor Pinggang dan Kampung Dangar itu, lima lelaki berusia antara 19 hingga 39 tahun ditahan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad, berkata serbuan pertama jam 4 pagi kelmarin di Kampung Lubok Setol membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 39 tahun dan rampasan 70 biji pil kuda.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Dalam serbuan kedua di Kampung Alor Pinggang pada hari sama, polis menahan dua lelaki berusia 19 dan 26 tahun serta merampas 40 paket air ketum.
"Ketika serbuan, suspek sedang membungkus air ketum yang sudah siap dibancuh dengan bahan terlarang dipercayai untuk dipasarkan ke pasaran tempatan.
"Serbuan ketiga di Kampung Dangar semalam, polis menahan seorang lelaki serta merampas 800 biji pil kuda yang disembunyikan di atas bumbung rumahnya.
"Suspek berusia 26 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau," katanya pada sidang media di sini.
Ibrahim berkata, siasatan pihaknya mendapati kesemua suspek yang ditahan dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan sejak beberapa bulan lalu.
Sumber: http://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/07/303767/5-pengedar-ditahan-870-biji-pil-kuda-dirampas