SENJATA API DIKESAN DALAM RAGA MOTOSIKAL
Kemaman, 26 September 2017 - Polis merampas selaras senapang buatan sendiri yang ditinggalkan dalam raga sebuah motosikal di Kampung Ranggon Estate di Kerteh, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, senjata api berukuran kira-kira 40 sentimeter itu ditemui orang awam pada 1.45 pagi.
"Kita turut menemui satu kelongsong peluru dalam raga motosikal berkenaan," katanya
Menurutnya, senapang berkenaan dipercayai digunakan oleh pencuri lembu dan kemungkinan ia ditinggalkan dalam raga motosikal selepas kehadirannya disedari penduduk.
Katanya, polis turut merampas motosikal jenis Honda EX5 hitam untuk siasatan lanjut.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 termasuk mengenal pasti pemilik senjata api serta motosikal itu," katanya. - HARIAN METRO ONLINE
Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/09/267081/tinggal-senjata-api-dalam-raga-motosikal