Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

TAKTIK BARU SINDIKET JUDI ATAS TALIAN DAPAT DIHIDU

TAKTIK BARU SINDIKET JUDI ATAS TALIAN DAPAT DIHIDU

Kuala Lumpur, 28 November 2017 - Kegiatan judi online kini dikesan beralih ke kawasan kediaman khasnya di kondominium dan pangsapuri berikutan serbuan dan pemeriksaan di seluruh negara secara besar-besaran.

Terbaru pagi tadi, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan pasukan khas Balai Polis Salak Selatan Baru, menyerbu satu unit kediaman di Kondominium One Petaling, Taman Castlefields, di sini, yang menjalankan kegiatan judi online.

Hasil pemeriksaan, tiga penjaga premis warga Indonesia termasuk seorang wanita serta tiga pemain judi online ditahan dalam serbuan jam 4.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata jika sebelum ini aktiviti judi online wujud di kawasan kedai atau premis perniagaan, kini mereka mula menjalankan aktiviti di kawasan kondominium.

"Penjaga premis ditugaskan untuk menunggu setiap pemain atau pelanggan di tingkat bawah sebelum membawa mereka naik ke unit kediaman yang menyediakan aktiviti judi online sejak dua minggu lalu.

"Tindakan ini adalah bertujuan bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak polis dan pihak berkuasa lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas premis yang beroperasi dari jam 8 malam hingga jam 8 pagi ini, pihak polis merampas sembilan unit komputer riba mempunyai unsur judi online serta satu komputer riba sebagai pelayar utama (main server) untuk transaksi kredit perjudian.

"Kita juga turut merampas lapan telefon bimbit, kunci rumah, kad masuk kediaman, modem serta wang tunai dalam dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, mengesahkan ini adalah kejayaan kedua Polis Kuala Lumpur mengesan aktiviti judi online di kawasan kediaman.

"Polis Kuala Lumpur, sememangnya menyedari cubaan sindiket perjudian mengalihkan aktiviti mereka ke kawasan kediaman terutama di kondominium dan pangsapuri berikutan pemeriksaan menyeluruh ke kawasan kedai, restoran dan pusat snuker.

"Justeru, pihak polis mengalu-alukan maklumat orang ramai terutamanya mereka yang merasakan adanya aktiviti mencurigakan kepada pihak polis," katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/11/356409/judi-online-pindah%C2%A0ke-kondominium

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS