Lahad Datu - Komander Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dikenali sebagai Komander Paliyak @ Yusuf di percayai merancang melakukan penculikan sebelum ditembak mati oleh anggota pasukan keselamatan di perairan laut Silam berhampiran Pulau Kantong, Kalungan, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, suspek yang nama sebenarnya Abu Paliyak, 31, ditemui terbaring di atas bot pam yang dipandunya dengan beberapa kesan tembakan di paha kanan, perut dan lengan kanan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, bertindak atas maklumat jenayah rentas sempadan di kawasan perairan laut Silam, sepasukan anggota pasukan keselamatan terdiri daripada pasukan khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu bersama sebuah bot digerakkan ke lokasi berkenaan.
"Ketika pasukan keselamatan menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Kantong, Kalungan di sini, kami mengesan bot dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Ketika dihampiri, bot pam itu tiba-tiba memecut laju sebelum seorang lelaki melepaskan satu das tembakan. Berikutan itu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan balas ke arah bot suspek,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, semalam.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014.
"Suspek ahli kumpulan Remy atau dikenali sebagai Kumpulan Two Brothers yang dianggotai 11 orang, lima daripadanya ditangkap pasukan keselamatan Filipina, empat ditembak mati, dan satu lagi dipercayai berada di selatan Filipina.
"Polis percaya suspek keluar ke laut bagi memerhati pergerakan pasukan keselamatan dan menyalurkan maklumat itu kepada kumpulan KFR (culik untuk tebusan) untuk melakukan jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
"Polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan saki-baki tali barut dan ahli kumpulan mereka yang masih bebas," katanya.
Hadir sama, Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali dan Komander (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Yazib Abdul Aziz.
Sumber: Harian Metro
