Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

TIP PERMOTORAN : APAKAH YANG ANDA PERLU BUAT APABILA DISAMAN PIHAK POLIS TRAFIK ATAU JABATAN PENGANGKUTAN JALAN

APABILA kita menunggang motosikal atau kereta, kadang-kadang kita terlupa perihal tempoh sah cukai jalan atau tempoh sah lesen memandu. Kesalahan yang beriringan dengan kesalahan tamat cukai jalan adalah kesalahan ketiadaan perlindungan insurans. Ketiga-tiga kesalahan ini jika disaman, anda tiada pilihan lain selain menjawab saman tersebut di mahkamah. Sekiranya anda gagal hadir ke mahkamah, waran tangkap akan dikeluarkan kerana kebiasaannya kes seperti ini, saman telah diserahkan semasa anda disaman di tempat kejadian. Selain daripada itu, kenderaan anda akan disenarai hitamkan dan Jabatan Pengangkutan Jalan dan anda tidak boleh menghidupkan cukai jalan kenderaan anda.

Selanjutnya, selepas menerima notis saman trafik tersebut, anda perlu pastikan tarikh sebutan kes yang tertera di atas notis saman yang dikeluarkan dan mahkamah mana yang perlu anda hadir.

Anda perlu ambil tahu beberapa perkara yang penting sebelum hadir ke mahkamah. Antaranya, pastikan anda membawa wang yang secukupnya. Ini adalah kerana, sekiranya anda mengaku salah di atas pertuduhan, anda akan dikenakan hukuman denda dan sekiranya anda tidak mencukupi wang untuk membayar denda, anda akan ditahan oleh pihak polis sehinggalah ada wakil yang membayar denda yang dikenakan. Sekiranya, anda tidak mampu membayar denda, kebiasaannya mahkamah telah tetapkan tempoh pemenjaraan sekiranya anda gagal membayar denda.

Jangan lupa membawa kad pengenalan. Tanpa kad pengenalan, anda tidak boleh mendaftar nama anda di mahkamah. Pihak polis atau pihak JPJ akan meminta anda pulang terlebih dahulu dan dapatkan kad pengenalan.

Etika berpakaian juga amat penting. Ada kes di mana orang kena saman (OKS) hadir ke mahkamah dengan berseluar pendek. Ada juga yang memakai baju tanpa lengan, memakai skirt yang terlampau pendek dan sebagainya. Anda dilarang memakai sebarang jenis topi di dalam mahkamah. Jangan berselipar di mahkamah. Senang cerita, berpakaian secara sopan dan berhemah.

Apabila hadir ke mahkamah, pertama-tama, pastikan anda ke mahkamah yang betul atau kebiasaannya, untuk kes trafik, terdapat mahkamah khas trafik. Sila masuk ke mahkamah dan serahkan saman dan kad pengenalan kepada pegawai polis mahkamah atau pegawai JPJ yang bertugas. Setelah kes anda didaftarkan, anda perlu menunggu sehingga kes anda dipanggil. Setelah dipanggil, anda perlu kehadapan majistret yang bertugas.

Pertuduhan akan dibacakan dan diterangkan kadar hukuman oleh jurubahasa mahkamah. Anda akan ditanya sama ada mengaku salah atau tidak. Kebiasaannya untuk kes trafik atau JPJ, OKS akan mengaku salah. Setelah mengaku salah, majistret akan meminta anda supaya membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman.

Di sini, anda perlu bercakap dengan jelas dan teratur. Antara fakta-fakta yang boleh anda maklumkan kepada mahkamah adalah umur anda, sama ada sudah berkahwin atau tidak, sama ada anda mempunyai tanggungan, sama ada anda mempunyai penyakit biasa atau penyakit kronik. Maklumkan juga kenapa anda lakukan kesalahan yang dipertuduhkan. Memandangkan anda telah membaca tulisan saya ini, sekiranya kemudian anda disaman, seelok-eloknya tulis rayuan yang anda ingin sampaikan. Pastikan ia ringkas dan padat.

Pun demikian, sekiranya anda dituduh di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, saya nasihatkan agar anda melantik peguam bagi membela anda. Ini adalah kerana bagi kesalahan di bawah Seksyen 41 APJ, hukuman minimum adalah pemenjaraan minimum selama tempoh 2 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang RM5.000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Pastikan juga peguam yang dilantik mempunyai pengalaman mengendalikan kes-kes di bawah Seksyen 41 APJ agar kes anda dapat dikendali dengan lebih teratur dan berkesan. Bagi kesalahan ini, sejurus pertuduhan dibacakan, dan sekiranya anda tidak mengaku salah, mahkamah akan meminta anda membuat rayuan bagi jumlah jaminan yang bakal dikenakan. Di samping itu, lesen memandu anda akan ditahan sehingga selesai kes anda. Oleh yang demikian, dalam tempoh kes anda berjalan, anda tidak layak untuk memandu kenderaan kerana anda tidak mempunyai lesen memandu yang sah bagi tempoh tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS