Iskandar Puteri, 22 Mei 2018 - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor akan mempertingkatkan operasi rondaan dan penguatkuasaan menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi dengan memfokuskan kegiatan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PAT1) melalui perairan negara.
Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, operasi yang dilakukan secara berterusan itu akan dipertingkatkan terutama di perairan kawasan timur dan barat negeri ini yang sering digunakan PATI untuk menyeludup keluar dan masuk ke negara ini.
"Kami menjangkakan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim ini akan meningkatkan dalam tempoh dua minggu sebelum perayaan Aidilfitri dan selepas hari raya berkenaan.
"Ini akan menjadi fokus utama PPM Wilayah Dua dan kita perlu mengambil tindakan memban-teras kegiatan mereka kerana kita juga hendak mengelakkan daripada berlakunya kejadian tidak diingini di laut yang boleh mengorbankan banyak nyawa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengada-kan program Rendezvous (RV) bersama Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) di perairan Selat Johor dekat Tebing Runtuh, di sini semalam.
Turut hadir Komander SPCG, Senior Asisten Komisioner, Hsu Sin Yun.
Dalam program yang diadakan setiap tahun itu, seramai 30 pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua Johor bertemu dengan 20 pegawai dan anggota SPCG di laut bagi mengadakan perbincangan serta mengeratkan kerjasama antara dua agensi berkenaan.
Pihak berkuasa SPCG yang hadir dengan dua bot peronda mereka kemudian mengadakan pertemuan bersama-sama PPM Wilayah Dua Johor di atas bot peronda PA51 dan turut bersama-sama berbuka puasa.
Menurut Sin Yun, pihaknya sudah bekerjasama dengan rapat dengan PPM Wilayah Dua Johor dalam tempoh yang agak lama bagi membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan di laut.
"Untuk mengatasi jenayah tanpa sempadan ini, kita perlu membantu antara satu sama lain terutamanya daripada segi me-nyalurkan maklumat. Kerjasama yang baik antara pihak berkuasa dua negara ini akan diteruskan" katanya.
Sumber : Utusan Malaysia