Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

WARDEN RUGI RM100,000 DITIPU PARCEL SCAM

Kuala Lumpur- Seorang warden asrama kerugian hampir RM100,000 disyaki ditipu sindiket Parcel Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai 'mat saleh' dari Amerika Syarikat.

Sumber berkata, warden lelaki berusia 53 tahun itu berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp yang kemudian dikatakan memberitahu mahu mengirim barang dan meminta mangsa menyimpannya.

"Mangsa berkenalan dengan suspek dikenali sebagai Michael Jose Jeflry melalui Facebook dan kemudian berhubung menerusi WhatsApp.

"Suspek didakwa memberitahu warden terbabit dia mengepos barang dan meminta mangsa menyimpannya. Suspek kononnya akan datang ke negara ini untuk mengambil barang itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber berkata, mangsa dikatakan bersetuju dan memberikan alamat rumah sebelum menerima panggilan mendakwa daripada syarikat kurier, 10 Mei lalu.

Katanya, pemanggil wanita itu didakwa memaklumkan mangsa perlu membayar cukai RM10,000 kerana barang dikirim sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi melebihi had berat.

"Mangsa kemudian membuat bayaran RM10,000 ke dalam satu akaun bank diberikan. Bagaimanapun, mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi kakitangan syarikat kurier yang meminta dia menjelaskan RM40,100 lalu melakukan transaksi jumlah itu.

"Namun, mangsa dihubungi sekali lagi kononnya barang dikirim perlu mendapat kelulusan kerana tidak disahkan pihak berkuasa negara ini.

"Seorang lelaki memperkenalkan diri pegawai bernama Remy meminta mangsa membayar RM200,000. Mangsa hanya memindahkan RM15,000 pada 21 Mei dan RM15,000 lagi pada 30 Mei lalu," katanya.

Katanya, mangsa mendakwa sekali lagi diminta membayar RM30,000 tetapi mula mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Tey Kong Seng mengesahkan menerima laporan mangsa dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti berikut..

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS