Kuala Lumpur - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 1,847 kes membabitkan sindiket Macau Scam dengan kerugian lebih RM107 juta di seluruh negara bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ahmad Noordin Ismail, berkata jumlah direkodkan itu meningkat berbanding sepanjang tahun lalu.
"Tahun lalu, sebanyak 1,414 kes direkodkan di seluruh negara membabitkan Macau Scam dengan kerugian berjumlah RM44.8 juta.
"Bagaimanapun, jumlah itu meningkat sebanyak 433 kepada 1,847 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini.
"Jumlah kerugian turut meningkat sebanyak RM62.2 juta kepada hampir tiga kali ganda, iaitu RM107 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun ini," katanya kepada NSTP.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan masih ramai yang tidak peka akan jenayah Macau Scam.
"Banyak berita sudah dipaparkan media mengenai modus operandi sindiket berkenaan, namun masih ramai terperdaya. Ini disebabkan takut dan sikap terlalu mudah percaya kerana maklumat diberikan suspek adalah sahih sehingga segelintir individu menjadi mangsa.
"Mengenai isu maklumat, ada mangsa tanpa sedar memberikan maklumat kepada pihak ketiga yang kemudian digunakan oleh sindiket bagi meyakinkan mangsa.
"Pada masa sama, kami tidak menolak kemungkinan berlaku kebocoran maklumat membabitkan agensi tertentu yang membolehkan data itu dijual dalam pasaran gelap," katanya.
Justeru, beliau berkata, orang ramai yang menerima panggilan telefon meragukan diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan, selain menyemak dengan mana-mana pihak berkaitan, termasuk institusi kewangan.
"Apabila menerima panggilan telefon, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan kongsi maklumat mengenai perkara itu dengan ahli keluarga atau rakan terdekat sebagai rujukan.
"Buat semakan terlebih dahulu dan jangan sesekali terburu-buru melakukan pemindahan wang.
"Pada masa sama, buat semakan dengan pihak berkaitan sebelum bertindak, selain melaporkan perkara itu kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya..
Sumber- Berita Harian