MOHD. AZIZ BERKAS DUA KOMUNIS BERSENJATA
Walaupun sudah 37 berlalu, kejadian pada tengah malam pada 7 Februari 1981 masih segar dalam ingatan Sarjan Mohd Aziz Yusof, seorang pesara polis.
Beliau pada ketika itu menyamar sebagai anggota polis berpakaian seragam yang mengadakan sekatan jalan raya di Padang Tengku ke Kuala Lipis, Pahang menunggu dengan sabar kedatangan pengganas komunis daripada Unit Penggempur Ke-16 yang dikhabarkan akan melalui lokasi tersebut.
Daripada maklumat yang diterima, kumpulan komunis berkenaan akan dibawa bertemu Unit Penggempur Ke-6 dengan menaiki teksi dari Kechau ke Sungai Ruan secara berperingkat-peringkat.
Mohd. Aziz yang ketika itu berkhidmat sebagai anggota Pasukan F, Cawangan Khas Bukit Aman berkata, selepas beberapa jam mengadakan sekatan jalan raya, akhirnya sebuah teksi dinaiki dua anggota pengganas komunis tiba.
Beliau bersama rakan setugas menahan teksi itu dan Cuba menangkap dua anggota komunis yang berada di dalam kenderaan tersebut.
"Tanpa disangka, seorang daripada anggota komunis itu memegang sepucuk pistol, jadi saya bertindak menerkam tangannya dan berlaku pergelutan. Pada saat genting itu, kepala saya cedera selepas terhantuk pintu teksi, namun tangan saya tidak lepas daripada menggenggam pistol kerana risau perkara lebih buruk akan berlaku.
“Selepas beberapa minit bergelut, akhirnya anggota komunis itu berjaya ditarik keluar dan senjata api yang dipegang terlepas daripada genggaman. Mujur semuanya selamat dan operasi tersebut berlaku tanpa pertumpahan darah," katanya yang turut dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) kerana keberaniannya berdepan dengan anggota komunis pada malam itu.
Pesara berpangkat Sarjan berusia 71 tahun itu memaklumkan, beliau dan rakan setugas kemudjannya mengadakan sekatan jalan raya di lokasi sama pada 26 dan 27 Februari 1981 lalu berjaya menawan 10 anggota komunis tanpa melibatkan pertumpahan darah sekali gus menyekat pertemuan antara Unit Penggempur Ke-16 dengan Unit Penggempur Keenam.
Bapa kepada lima anak itu memberitahu, sebelum kejayaan tersebut, beliau dan pasukan telah mengatur perancangan selama berbulan-bulan untuk menawan kumpulan pengganas komunis berkenaan.
Ujarnya, sebelum itu Pasukan F mendapat maklumat kumpulan komunis tersebut akan bergerak ke Kuala Lipis, Pahang dengan menaiki kereta api dari Gua Musang, Kelantan dan mereka diarahkan untuk meninjau keadaan dan perjalanan kereta api di sana dari awal pagi hingga waktu terakhir laluan bagi memberkas kesemua pengganas komunis itu.
"Berbulan-bulan kami menaiki kereta api untuk mengesan pengganas komunis yang berkulit pucat, namun tidak kelihatan sehinggalah kami diberikan arahan baharu untuk meninjau laluan air pula kerana dipercayai mereka telah menukar rancangan,” ujarnya.
Sumber : Utusan Malaysia