Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

ARTIKEL PILIHAN: DUA LELAKI MENGAKU SALAH HINA AGONG

Kuala Lumpur, 13 Mac 2020 - Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook Mac lalu.

Penganggur, Ooi Wei Siong dan peniaga dalam talian, Nurhaizad Azhar, masing-masing berumur 38 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mengikut kertas pertuduhan, Wei Siong didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya itu menggunakan laman profil Facebook “SAM OOI” dengan niat untuk menganiayai orang lain, pada 7.39 pagi, 1 Mac lalu.

Kenyataan itu dibaca di laman profil Facebook “Hanya di Kelate” di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tingkat 27 Menara KPJ, Wangsa Maju di sini, pada 8.20 pagi, 2 Mac lalu.

Nurhaizad pula didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifat dengan menggunakan laman profil Facebook “Haizad Azhar” dengan niat untuk menganiayai orang lain.

Kenyataan tersebut dibaca di laman profil Facebook “Din Radhi” di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wangsa Maju, pada 11.20 pagi, 1 Mac lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Edwin membenarkan kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) dijamin RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac serta 20 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas mereka selain tidak membenarkan kedua-dua individu itu memuat naik mengenai kes berkenaan di laman sosial.

Bacaan lanjut menerusi pautan https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1820947

Sumber: BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS