Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

#PKPB #COVID-19 #WarAgainstDrugs KERATAN AKHBAR PILIHAN: SINDIKET DADAH GUNA JALAN LAUT TUMPAS

Seremban, 19 Mei 2020 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bernilai RM7.2 juta menggunakan jalan laut minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato’ Ramli Haji Din berkata, ia susulan tangkapan tujuh ahli sindiket dalam empat serbuan dilakukan di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor pada 9 Mei hingga 14 Mei lalu.

"Kesemua suspek lelaki berusia antara 24 hingga 44 tahun dan tiga daripadanya adalah warganegara Indonesia.

"Tangkapan suspek telah membawa penemuan sebanyak 112.7 kilogram pelbagai jenis dadah di kawasan semak di tepi pantai Teluk Kemang. Dadah itu pula dibungkus dengan bungkusan serbuk teh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati dadah berkenaan dipercayai untuk di seludup ke negara jiran kerana harga jualan di sana tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Katanya, polis percaya sindiket itu telah menjalankan kegiatan mereka sejak 10 bulan lalu dan dipercayai menggunakan jalan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut modus operandi sindiket ini termasuk mengesan saki baki ahli sindiket.

"Pemeriksaan mendapati tiga suspek yang ditangkap mempunyai rekod dadah dan jenayah. Ujian saringan air kencing dilakukan juga mendapati empat daripadanya positif dadah," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu katanya, pihaknya merampas empat buah kereta, sebuah bot gentian kaca bernilai RM95,000, tujuh keping emas dan wang tunai yang keseluruhan bernilai RM164, 045.

Hadir sama pada sidang akhbar ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim, Datuk Ibrahim Mohamed dan Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Dato’ Mohamad Mat Yusop.

Sumber: Sinar Harian

#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

Image may contain: one or more people and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS