Kuala Lumpur, 27 Mei 2020 - Hari terakhir cuti umum sempena Aidilfitri semalam menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pemeriksaan lebih ketat serta teliti di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.
Tinjauan Berita Harian di lokasi SJR Plaza Tol Jalan Duta, di sini, mendapati aliran trafik menuju utara lancar, namun lalu lintas di lokasi sama menghala ke pusat bandar sedikit sesak berikutan pertambahan kenderaan serta pemeriksaan teliti dilakukan polis.
Aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan turut terkawal, begitu juga keadaan lalu lintas di Plaza Tol Gombak yang lancar dengan jumlah kenderaan amat sedikit dari arah pusat bandar Pantai Timur, menjadikan kawasan berkenaan lengang.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin, berkata dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari semalam, pihaknya memeriksa 34,597 kenderaan di SJR.
Superintendan Dr. Bakri memaklumkan, dua pemandu dikompaun dan 23 kenderaan diarah berpatah balik selepas dikesan cuba merentas negeri di tujuh SJR, semalam.
Sementara itu, JSPT Bukit Aman merekodkan 3,566 kenderaan melalui Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan semalam dan daripada jumlah itu, 3,379 adalah kenderaan persendirian, 147 kenderaan perdagangan serta 40 kenderaan pengangkutan awam.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti berikut.
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN