Kuala Lumpur, 28 Jun 2020 - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes culik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemukan di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Dato' Fadzil Ahmat berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Sheikh Ismail Sheikh Hassan atau nama gelarannya ‘El’, berusia 26 tahun dan alamat terakhir di Bukit Beruntung MK Land, Rawang.
“Polis ingin meminta bantuan orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai individu yang dikehendaki ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dan seorang individu bergelar Datuk pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan berkaitan kes culik ahli perniagaan berusia 55 tahun itu.
Menurutnya kesemua suspek berusia 20 hingga 56 tahun itu direman antara lima dan tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 3 Akta Culik 1961.
Jelasnya lagi proses bedah siasat masih diteruskan dan akan bersambung pada 2 Julai nanti bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Bacaan lanjut adalah seperti di pautan berikut, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1855216
Sumber: BERNAMA