Kuala Lumpur, 18 Julai 2020 - Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador menyifatkan cadangan kerajaan menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes membabitkan pemandu mabuk adalah memadai.
Beliau berkata, pihaknya pernah mencadangkan hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap kelompok berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk di negara ini.
"Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukan," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kasut oleh Syarikat Bata Primavera Sdn Bhd, di Bukit Aman di sini, semalam.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri IR. Dr. Wee Ka Siong, sebelum ini berkata, kerajaan akan mengusulkan pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Datuk Seri IR. Dr. Wee Ka Siong berkata, pindaan juga mencadangkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.
Pindaan akta itu dijadualkan dibentang pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.
Sumber: Berita Harian