Kuala Lumpur, 25 Julai 2020 - Beliau bukanlah pemegang watak askar, polis atau wira seperti dalam filem Hollywood namun, namanya tetap menjadi sebutan kerana sumbangan besar dalam menjayakan operasi pencegahan jenayah termasuk melumpuhkan gerakan komunis.
Superintendan (B) Datuk Paul Kiong membuktikan kehebatan dan ketangkasan pasukan keselamatan suatu ketika dahulu apabila beliau mampu menangkap pengganas komunis tanpa melepaskan walaupun sebutir peluru.
Niatnya hanya satu iaitu menumpaskan musuh negara tanpa melibatkan sebarang pertumpahan darah kerana bagi Datuk Paul, kini 76, musuh yang sudah menjadi mayat tidak berguna untuknya.
“Musuh yang ditangkap hidup-hidup itu paling diperlukan bagi membolehkan kita mendapat maklumat mengenai pergerakan rakan komunisnya yang lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau yang bertugas selama 32 tahun dalam Unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, segala penat lelahnya terbalas apabila pengganas komunis menyerah diri tanpa paksaan.
Antara tahun 1976 hingga 1986, Datuk Paul berkata, beliau telah menangkap seramai 43 orang pengganas komunis.
Selain daripada operasi tersebut, katanya, Datuk Paul turut terlibat secara langsung dalam beberapa operasi lain yang kesemuanya mencatat kejayaan besar.
“Ini bukan tugas mudah. Saya mengambil risiko nyawa saya. Andai ada sedikit tersilap langkah, pasti nyawa melayang.
“Saya akan pastikan setiap apa dilaksanakan akan berjaya dengan perancangan rapi,” katanya.
Datuk Paul yang juga anak keempat daripada enam beradik menyertai PDRM pada tahun 1967.
Penerima Pingat Bintang Kehormat Seri Pahlawan Gagah Perkasa 1983 dan Pingat Keberanian Handal Perak 1988 itu mengakui beliau meminati kerjaya unit beruniform sejak zaman sekolah dan telah memohon kerja di tiga agensi iaitu PDRM, Kastam Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Datuk Paul menyamar sebagai anggota komunis selama enam tahun bermula pada 1981.
Datuk Paul berkata, beliau begitu teruja apabila PDRM menjawab permohonan kerjanya.
“Selesai sahaja latihan untuk menjadi pegawai polis, saya ditugaskan berkhidmat bersama Cawangan Khas Polis di Johor,” katanya yang memberitahu beliau dinaikkan pangkat sebagai Inspektor sebelum dipindahkan ke kampung halamannya di Ipoh, Perak pada tahun 1975.
ENAM TAHUN MENYAMAR JADI KOMUNIS
Datuk Paul berkata, antara tugas yang paling berisiko tinggi adalah ketika beliau menyamar sebagai penyokong dan pemandu gerakan bawah tanah komunis bersama beberapa rakan setugasnya bagi memperoleh maklumat mengenai aktiviti mereka.
Semasa mendedahkan kegiatan golongan berhaluan kiri itu, beliau berkata, terdapat dua kategori pengganas komunis ketika itu iaitu anggota militan yang bergerak di dalam hutan dan anggota bawah tanah yang bergiat di bandar.
“Tugas anggota komunis bawah tanah adalah membantu anggota militan komunis dari segi logistik termasuk penghantaran bekalan makanan dan merekrut anggota baharu,” ujarnya.
Datuk Paul berkata, beliau ditugaskan untuk memerhatikan gerak-geri anggota komunis termasuk menghalang sebarang bantuan bekalan logistik seperti makanan daripada dihantar ke kem komunis di dalam hutan.
“Saya juga perlu menyamar sebagai seorang individu yang boleh dipercayai oleh komunis agar saya menyusup masuk bagi membolehkan
lebih banyak maklumat diperoleh mengenai mereka.
“Semua maklumat seperti cara bercakap, berpakaian, pemikiran, latar belakang komunis termasuk diri sendiri perlu sealiran dengan mereka,” katanya.
Datuk Paul berkata, hampir enam tahun beliau keluar masuk ke dalam hutan di Perak untuk mencari maklumat berkaitan komunis sehingga anak lelakinya tidak mengenalinya kerana terlalu lama ‘menghilangkan diri’.
“Saya pulang ke rumah dalam keadaan tidak terurus, berjanggut dan sebagainya kerana terlalu lama di hutan bercampur dengan anggota komunis,” katanya.
Menurutnya, tempoh berada di hutan adalah sangat memeritkan dan beliau tidak memikirkan untuk menikmati makanan yang lazat sebaliknya apa sahaja haiwan yang melintas termasuk babi hutan, tikus dan monyet dijamahnya bagi mengisi perut.
“Saya juga dapat dua pasang baju daripada komunis, salah satunya hanya digunakan untuk tidur,” cerita beliau.
KOMUNIS SURUH DATUK PAUL KIONG HANTAR SURAT RAHSIA DALAM KAPSUL
Menceritakan pengalamannya selama enam tahun menyamar sebagai tali barut komunis.
Datuk Paul Kiong berkata, kumpulan militan itu menggunakan surat yang diletakkan di dalam kapsul untuk berkomunikasi antara kem di dalam hutan.
Beliau sendiri pernah diarahkan untuk menghantar surat ke kem komunis yang lain dengan menunggang motosikal.
“Tulisan pada surat itu terlalu kecil untuk dibaca, namun sebelum sampai ke destinasi, saya sempat menyalin surat itu untuk tujuan pemantauan dan tindakan lanjut,” katanya.
Sepanjang 34 tahun berkhidmat sebagai pegawai polis, Datuk Paul berkata, peristiwa menangkap pemimpin komunis dan beberapa anggotanya masih segar dalam ingatannya.
Pada waktu itu katanya, kebetulan pemimpin komunis itu perlu menghantar surat dalam kapsul kepada kem komunis lain di dalam hutan di Chemor.
“Jika surat itu tidak diserahkan, anggota di kem tersebut akan mengetahui ketuanya telah ditahan polis.
“Bagaimanapun, pada hari kelima ditahan, pemimpin komunis itu menawarkan diri untuk memberi kerjasama kepada polis, itu yang paling melegakan saya,” katanya.
Datuk Paul berkata, keadaan ketika itu paling mendebarkan apabila beliau ditugaskan secara bersendirian untuk membawa pemimpin komunis itu ke kem berkenaan dengan hanya berbekalkan sepucuk pistol jenis Llama yang selalu digunakan oleh anggota komunis.
Menurutnya, kedua-duanya menuju ke kem komunis di dalam hutan dengan menaiki kereta pada waktu malam.
“Saya letak kereta di pinggir hutan, hanya lelaki itu yang masuk ke dalam kem berkenaan,” katanya memberitahu lelaki itu diberi tempoh 15 minit untuk menghantar surat dan beredar.
Beliau berkata, situasi bersendirian di pinggir hutan yang gelap hampir setengah jam itu tidak dapat digambarkan apatah lagi apabila beliau menyangka pelbagai kemungkinan pemimpin komunis itu telah berpaling tadah sehingga menyebabkan nyawanya terancam.
Katanya, lebih mendebarkan apabila tiba-tiba muncul pemimpin komunis itu bersama tujuh rakannya seolah-olah mahu mengepung saya,” katanya.
Ternyata sangkaan Datuk Paul meleset apabila pemimpin komunis itu mengajaknya masuk ke dalam kereta dan pulang.
“Saya terus pandu pulang ke markas. Di dalam kereta kami tak bercakap apa-apa, namun jauh dalam sudut hati, saya lega kerana apa yang dirancang berjaya tanpa sebarang pertumpahan darah,” katanya.
SEKAT BEKALAN MAKANAN
Datuk Paul juga memberitahu turut berjaya menyekat bantuan bekalan logistik kepada militan komunis sepanjang tempoh penyamarannya.
“Saya juga berjaya memberkas beberapa individu yang menjadi tali barut kepada pergerakan komunis. Susulan tangkapan itu, pergerakan komunis semakin lemah akibat kekurangan bekalan,” katanya.
Beliau juga berjaya memujuk dan mempengaruhi 12 orang anggota komunis untuk berpihak kepadannya bagi mengesan dan memberkas
anggota komunis lain pada tahun 1981.
Jelasnya, anggota komunis yang berpelajaran amat mudah dipujuk dan cepat sedar kerana telah tersilap langkah menyertai komunis.
“Saya hanya menggunakan serangan psikologi berbanding serangan menggunakan senjata api kerana ia lebih berkesan dalam memerangi musuh,” katanya.
Datuk Paul berkata, beliau kemudian dipindahkan ke Bahagian Cawangan Khas Polis lbu Pejabat Polis Bukit Aman serta dinaikkan pangkatnya ke Deputi Superintendan pada 1990.
Kerjayanya sebagai polis berakhir apabila beliau memilih bersara awal pada 1998 dengan pangkat terakhir Superintendan.
Katanya, sehingga kini beliau masih berhubung dengan bekas pengganas komunis yang telah berpaling tadah.
“Kita harus memberi peluang kedua mereka kembali ke pangkal jalan. Mereka mengaku tersilap langkah memilih ideologi komunis dahulu,” katanya.
Pada masa sama, katanya, generasi muda patut berbangga dengan jasa para pejuang negara kerana tanpa mereka, kita tidak dapat dapat hidup aman dan makmur.
“Tugas kita sekarang adalah untuk memastikan tiada lagi anasir luar boleh menggugat kemakmuran negara yang kita kecapi selama ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian