Kuala Lumpur, 27 Julai 2020 - Ibu bapa perlu berhati-hati dalam berkongsi gambar peribadi anak-anak kerana wujud segelintir individu yang cuba menyalahgunakan gambar tersebut untuk pornografi.
Lebih menakutkan, gambar itu dipercayai disimpan bagi memuaskan nafsu si pedofilia serta disebarkan dalam web gelap.
Seorang pengguna Facebook, Auni Ameera memberi amaran kepada ibu bapa agar tidak terpedaya dengan individu yang cuba menawarkan bantuan wang dan barang keperluan kanak-kanak.
Katanya, individu yang menggunakan akaun 'Yanalee' akan menghantar mesej peribadi kononnya untuk bersembang hal berkaitan anak.
"Selepas itu, dia akan meminta gambar kemaluan kanak-kanak termasuk gambar lucah sebelum diberikan bantuan tersebut.
"Bantuan itu sebenarnya tidak wujud, dipercayai lelaki pedofilia yang menyamar malah dia turut menggunakan beberapa akaun palsu lain bagi mengelirukan orang ramai" katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Dya Zainal mendedahkan taktik pedofilia yang menyamar sebagai pakar perubatan atau penjual ubat-ubatan berkaitan kanak-kanak.
Jelasnya, individu itu akan menggunakan akaun palsu dengan memuat naik 'posting' atau pertanyaan mengenai cara-cara mengubati penyakit kulit di kemaluan anak-anak.
Sumber: Utusan Online