Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: PERANGKAP LALUAN ‘DARAH’

Kuala Lumpur, 27 Oktober 2020 - Ramai yang tidak menyedari laluan di Kilometer (KM) 0.6 hingga KM 11.3 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berhampiran Shah Alam, Selangor, dikenal pasti sebagai lokasi paling kerap berlaku kemalangan sejak 2016 hingga Jun 2020.

Perkara itu didedahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melalui rekod kemalangan di laluan 'hitam’ itu yang mencatatkan sebanyak 6,363 kes sepanjang tempoh berkenaan.

Jumlah kemalangan paling tinggi direkodkan di laluan itu adalah kemalangan rosak yang hanya membabitkan kerosakan pada kenderaan sebanyak 6,319 kes diikuti kemalangan maut (49 kes); kemalangan parah (9 kes) dan kemalangan ringan (4 kes).

Empat lagi lokasi yang dikenal pasti sebagai "hotspot" kemalangan adalah laluan di KM 41 hingga KM 75 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bentong, Pahang yang merekodkan 5,129 kes diikuti KM 264 hingga KM 287.4 Lebuhraya PLUS berhampiran Ipoh, Perak (4,604 kes).

Selain itu, laluan antara KM 76 hingga KM 134, Jalan Johor Bahru-Melaka-Tanjong Laboh-Bukit Condong-Perserai berhampiran Batu Pahat, Johor mencatatkan 3,833 kes manakala KM 197.6 hingga KM 219.4 Lebuhraya PLUS berhampiran Alor Gajah, Melaka merekodkan 3,404 kes.

Kedua-dua laluan ini turut dikategorikan sebagai lokasi kerap kemalangan sepanjang tempoh berkenaan.

Pengarah JSPT Bukit Aman, DCP Dato’ Azisman Alias berkata, sebanyak 63 lokasi kerap kemalangan digelar "blackspot" dikenal pasti pihaknya pada tahun ini berdasarkan data Kementerian Kerja Raya melalui aplikasi Road Accident Management System (RAMS).

Menurutnya, antara punca utama mendorong berlakunya kemalangan di lokasi berkenaan adalah kenderaan berhenti di lorong kecemasan serta motosikal yang menggunakan laluan kecemasan.

Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Harian Metro berikut.

Sumber: Harian Metro




PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS