Gerik, 30 Disember 2020 - Dua lelaki ditahan bersama empat tan daun ketum bernilai RM120,000 di kilometer 17, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat sini, pada 10.30 malam, Ahad lalu.
Rampasan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak itu adalah rampasan terbesar tahun ini dan kedua-dua suspek mendakwa menerima upah RM1,000 seorang untuk menyeludupnya dari Kedah ke Kelantan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pada awalnya polis mengekori lori lima tan itu dari Gerik sebelum menahan dua suspek lelaki iaitu pemandu lori berusia 46 tahun dan kelindan berusia 52 tahun.
Beliau berkata, apabila pemeriksaan dilakukan, 800 bungkusan plastik hitam berisi daun tumbuhan dipercayai daun ketum ditemui di belakang lori itu.
"Hasil soal siasat, mereka mendakwa sebelum itu bergerak dari Kelantan ke Kedah untuk mendapatkan bekalan daun berkenaan untuk dibawa pulang dan dipasarkan di Kelantan.
"Daun disyaki ketum itu diseludup dari Kedah dengan harga RM40,000 dan dijual dengan harga RM30.00 sekilogram dan hasil maklumat awam, polis mengekori pergerakan mereka sejak dari Gerik.
"Akhirnya apabila sampai di KM 17, JRTB Gerik-Jeli, lori itu akhirnya ditahan," katanya pada sidang media di IPD Gerik, semalam.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti berikut.
Sumber: Harian Metro