Petaling Jaya, 4 Januari 2021 - Dakwaan bekas penggodam dan pakar teknologi maklumat, Aman Shah Ahmad tentang kelemahan sistem perbankan negara disifatkan sebagai satu rumusan yang tidak berasas serta tidak tepat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, CP Dato’ Zainuddin Yaacob berkata, bekas penggodam itu bukanlah pihak berkuasa atau seseorang yang mempunyai kredibiliti untuk menilai sistem perbankan negara.
"Dakwaan itu tidak melambangkan ketepatan dan ia satu rumusan yang tidak sepatutnya keluar daripada dia (Aman Shah) kerana dia hanya seorang pegawai bank biasa sahaja pada tahun 90-an.
"Saya tidak pasti seramai mana yang mempercayai apa yang dia katakan kerana dia bukan orang yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Ujar Dato’ Zainuddin, institusi perbankan negara ini mempunyai sistem keselamatan yang hebat yang mampu menjaga kepentingan pendeposit dan pelabur awam.
"Jika terdapat kelemahan (dalam sistem perbankan), mungkin hanya sebahagian kecil dan itu pun masih boleh diatasi. Oleh itu, apabila dia mengatakan sistem perbankan kita lemah, perlu ada asas yang menyokong kenyataan itu," jelasnya.
Tambahnya, sekiranya terdapat mana-mana pihak perbankan yang menghubungi Aman Shah untuk penjelasan lanjut mengenai dakwaannya, itu merupakan inisiatif institusi kewangan tersebut kerana pihak JSJK hanya akan menyiasat sekiranya terdapat laporan mengenai isu godam dan sebagainya.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia.
Sumber: Utusan Online