Kuala Lumpur, 8 Januari 2021 - Seramai 24 individu ditahan polis termasuk dua warga asing dipercayai terlibat sindiket penipuan pelaburan forex dalam satu serbuan di sekitar Lembah Klang.
Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman telah membuat serbuan di sekitar Lembah Klang pada 5 Januari lepas.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, CP Dato’ Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, polis memberkas 16 lelaki serta enam wanita tempatan selain seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 57 tahun.
“Antara yang ditahan termasuk seorang lelaki tempatan yang menggunakan gelaran Datuk palsu bagi memperdaya mangsa,” katanya.
Jelasnya, polis merampas 1,000 keping wang USD100 palsu, tujuh keping emas palsu, enam kenderaan mewah, 22 telefon bimbit, 10 komputer riba, 11 beg berjenama, barang kemas serta wang tunai bernilai RM2,230.
“Modus operasi digunakan dengan menjual perisian komputer bagi tujuan analisa situasi pasaran forex serta dipercayai membina laman sesawang palsu untuk meyakinkan mangsa menyertai pelaburan.
“Selain itu, sindiket berkenaan juga dipercayai menggunakan wang tunai mata wang USD serta bar emas palsu yang ditemui di lokasi serbuan bagi meyakinkan mangsa terhadap pelaburan terbabit,” katanya.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.kosmo.com.my/…/24-individu-ditahan-disyaki-ter…/
Sumber: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM dan Kosmo Online