Kuala Lumpur, 27 Januari 2021 - Mulai hari ini, pasangan suami isteri jarak jauh yang berada di lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenar merentas negeri untuk pulang berjumpa pasangan masing-masing.
Menteri Kanan (Keselamatan) Menteri Pertahanan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelmarin, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran itu, namun pasangan terbabit perlu mendapat kebenaran polis terlebih dahulu.
“Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan setuju untuk membenarkan pasangan suami isteri yang berjauhan disebabkan bekerja untuk merentas negeri bertemu keluarga masing-masing dengan syarat mendapat kebenaran dan kelulusan polis.
“Sama seperti yang lain-lain, kalau ada kes kecemasan memang kita benarkan, tetapi perlu maklum kepada polis dan dapatkan kebenaran terlebih dahulu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di sini, semalam.
Bagaimanapun, Dato' Sri Ismail Sabri menasihati mereka yang bergejala sama ada mendapatkan rawatan terlebih dahulu, membuat saringan atau sebaik-baiknya menangguhkan perjalanan sehingga sihat.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar Berita Harian di lampiran.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN