Kuala Lumpur, 29 Januari 2021 - Polis membuka kertas siasatan berhubung dua kenyataan dimuat naik pengguna Facebook, Anonymous Malaysia membabitkan isu kebocoran data dan ancaman serangan siber.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, CP Dato' Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara berkenaan setakat ini.
"Kami siasat perkara ini selepas menerima laporan berkaitan kenyataan video yang dimuat naik pihak berkenaan sebanyak dua kali di Facebook.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505/507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Anonymous Malaysia mengeluarkan amaran kedua, hari ini, berhubung isu pangkalan dan kebocoran data yang dikatakan timbul selepas kegiatan 'scammer' atau penipuan sering berlaku sejak 2015.