Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

POSTING PILIHAN: POLIS BERKAS 17 AHLI SINDIKET MACAU SCAM

Johor Bahru, 3 Februari 2021 - Polis menahan 15 lelaki serta dua wanita dan menumpaskan satu sindiket “pusat panggilan” penipuan Macau Scam dalam serbuan di sebuah rumah inap desa di Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, CP Dato' Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang berumur antara 22 dan 33 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 10.35 pagi, dan polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi menghubungi dan memperdayakan mangsa termasuk 57 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set komputer dan dua modem.

Beliau berkata modus operandi yang sering digunakan mereka adalah dengan menyamar sebagai pegawai pos laju dan memperdayakan mangsa kononnya ada kiriman atas nama mangsa ditahan kerana mengandungi barang yang menyalahi undang-undang.

“Suspek kemudiannya menyamar sebagai pegawai penyiasat dan menawarkan untuk menyelesaikan kes dengan meminta maklumat diri serta perbankan, dan mangsa kemudiannya mengikut arahan yang diberikan melalui panggilan telefon untuk membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan ahli sindiket ini,” katanya.

“Ahli sindiket kumpulan ini dari pelbagai negeri termasuk dari Sabah, Sarawak dan mereka menerima gaji bermula RM2,000 hingga RM7,000 selain menerima komisen antara satu hingga tiga peratus dari hasil yang mereka perolehi, dan mangsa adalah dipilih secara rawak,” tambahnya.

Beliau berkata kesemua mereka kini direman sehingga Sabtu ini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bacaan lanjut di pautan seperti berikut, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1928162
Sumber: Polis Johor dan
BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS