Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: PENGAMBILAN JAWATAN KONSTABEL, BUKAN BUMIPUTERA TAK PERLU KEPUJIAN BAHASA MELAYU

Kuala Lumpur, 12 Mac 2021 - Warga Malaysia bukan Bumiputera yang layak kini boleh mengisi kekosongan jawatan konstabel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa perlu mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato' Ramli Haji Din berkata, kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini.

"Kelonggaran syarat ini sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka.

"Bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian.

"Sekiranya masih gagal dalam tempoh enam tahun, khidmat mereka akan ditamatkan," katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, permohonan dibuka bermula 18 hingga 31 Mac ini dan permohonan perlu dibuat secara dalam talian di Portal e-Pengambilan PDRM.

Katanya, individu bukan Bumiputera yang pernah memohon sebelum ini boleh membuat permohonan baharu.

"Keutamaan diberi kepada pemohon bukan Bumiputera yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, Tamil dan bahasa ibunda lain.

"Kita turut beri kelonggaran syarat pengambilan khas Orang Asli bagi jawatan konstabel Gred YP1, iaitu ketinggian 160 sentimeter bagi lelaki dan 155 sentimeter bagi wanita," katanya.

Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar Berita Harian di lampiran.

Sumber: Berita Harian Online

May be an image of 1 person and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS