Kota Bharu, 30 Mei 2021 - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, melarang sebarang penyampaian dan pengajaran kuliah bertentangan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak serta Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, larangan itu dibuat selepas pihaknya mendapati segelintir pendakwah, termasuk pemegang tauliah mengajar MAIK, membuat kenyataan bertentangan dasar kerajaan berhubung perkara terbabit.
"Perkara ini memberi kesan negatif terhadap langkah kerajaan membendung wabak COVID-19 daripada terus merebak dalam masyarakat negeri ini.
"Dalam situasi darurat sekarang, semua pihak perlu menghentikan semua perbezaan dan pendapat dalam perkara ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW - Maka jika kalian melihat perselisihan, berpeganglah pada as-Sawad al-A'dzham (majoriti orang Islam) - dan berdasarkan kaedah fiqh ‘keputusan hakim mengangkat segala khilaf’," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, jika mana-mana pegawai masjid bandar, jajahan, mukim, pemegang tauliah mengajar MAIK dan pendakwah didapati melakukan perkara berkenaan, MAIK tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar Berita Harian di lampiran.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN