Kota Bharu, 12 September 2021 - Kenangan bertugas pada 1960-an sukar dilupakan pesara polis, Sarjan Mejar Sabtu Bedul apabila ramai rakannya terkorban ketika bertempur dengan komunis.
Encik Sabtu, 81, berkata walaupun ramai rakannya turut cedera akibat terkena tembakan dan jerangkap samar, ianya tidak mematahkan semangatnya untuk berkhidmat demi negara tercinta.
Katanya, peristiwa yang tidak boleh dilupakan apabila 17 rakan dalam pasukan polis meninggal dunia ketika bertempur dengan komunis di Betong, Thailand pada 1968.
"Ketika operasi, saya dan rakan-rakan perlu berada di dalam hutan antara dua hingga tiga bulan. Namun, kami tidak gentar demi kedaulatan negara tercinta," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengurusan, CP Dato' Zaini Jass menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada Encik Sabtu di rumahnya di Kampung Paya Rambai, Jalan Bayam, Kota Bharu Kelantan di sini.
Katanya, dia berterima kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memilihnya untuk diberikan pingat berkenaan.
"Saya menghargai jasa PDRM yang sentiasa mengingati pesara polis. Pingat ini sangat bermakna buat saya," katanya.
Sumber: Polis Kontinjen Kelantan dan Harian Metro